Tuesday, June 7, 2011

Diulit DOSA CINTA...31

BAB 31


Pejam – celik hampir 2 minggu aku sudah berada di kampung. Segala persiapan hari pernikahanku telah ditetapkan pada akhir bulan nanti. Wakil rombongan yang bertandang bagi membincangkan urusan perkahwinan selesai dengan penuh adat.

Cuma yang menjadi kemusykilan keluargaku ialah permintaan keluarga Ikram yang mahukan majlis pernikahan kami dibuat secara tertutup. Majlis kenduri kendara sekadar menjemput sanak – saudara yang rapat saja. Segala persediaan dan kelengkapan untuk majlis nikah juga telah diatur sepenuhnya oleh mereka. Sungguh! aku pelik dengan permintaan pihak Ikram itu.

Abah dan emak mula berfikir yang bukan – bukan . Mereka sama sekali tidak bersetuju perkahwinanku diatur seperti itu, umpama sebuah majlis hanya untuk menutup malu. Abah tidak mahu ia menjadi buah mulut orang lebih – lebih lagi mulut orang – orang kampung yang tinggal berdekatan. Namun setelah didesak beberapa kali oleh mak saudara Ikram barulah abah bersetuju dengan hati yang berat untuk mengadakan majlis kami secara sederhana saja.

Bagaimana harus aku berdepan dengan keluargaku. Apa yang perlu aku jelaskan pada emak dan abah. Ikram lansung tidak membincangkannya denganku terlebih dahulu. Aku jadi terpinga – pinga dan mengumam seribu bahasa.

Mujur juga petang nanti, Ikram mengajakku keluar untuk ke butik perkahwinan bagi mengambil tempahan baju nikah dan membeli sedikit barang – barang keperluan yang lain. Inilah masanya, aku akan bertanyakan hal tersebut. Kalau mengikut perancangan keluarga Ikram, hanya majlis di sebelah perempuan saja yang akan dirai. Pihak lelaki tidak akan mengadakan sebarang majlis di tempat mereka sepertimana yang diminta oleh Ikram sendiri.

Rasa kehairanan semakin membungkam dihati. Apa masalah Ikram sebenarnya? Kenapa dia tidak berbincang dengan aku? Bagaimana harus aku teruskan hidupku dengannya jika hal serumit ini enggan dikongsi?.

Jam dinding hampir menunjukkan pukul 2. Sebentar lagi Ikram pasti akan sampai. Aku yang masih belum bersiap pantas mencapai tuala yang tersidai di birai katil lalu menuju ke bilik mandi.

Bersiap ala kadar dengan blouse ungu samar dan jeans. Tudung yang sama tona warna dipadankan dengan blouse yang ku pakai, masih memberikan penampilanku tampak menawan. Solekan tipis memberikan impak pada keserian wajah agar tidak kelihatan terlalu pucat. Lagipun hampir seminggu juga aku tidak bertemu dengan Ikram. Semenjak dipindahkan ke cawangan di sini, Ikram kerap berulang – alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Jarang benar kami berjumpa kerana kesibukan Ikram. Pastinya, aku tidak ingin dia melihat aku sebagai bakal isterinya itu selekeh.

Usai bersiap, aku melangkah menuruni anak tangga perlahan – lahan. Kedengaran serius perbualan antara abah dengan Ikram. Sememangnya abah masih kurang senang dengan perancangan yang diatur pada majlis perkahwinan kami.

Memandangkan perbincangan mereka yang serius, aku tidak berani nak menegur. Kakiku terus melangkah meluru ke dapur. Melihat emak sedang sibuk menyediakan minuman untuk tetamunya itu, aku pantas membantu.

“Dah lama Ikram sampai mak” tanyaku kepada emak yang sedang membancuh air sirap bandung. Aku mengambil gelas dan menyusunnya di atas dulang.

“Tidak lama sangat, ada 10 minit agaknya”.

“Oh!”

“Kenapa?” emak mengerut kening dan memandangku dengan seribu pertanyaan diwajahnya.

“Err…tak ada apa – apa lah mak” cepat – cepat aku membawa dulang minuman yang telah tersedia ke ruang tamu sebelum emak bertanya lebih lanjut. Aku tahu emak termasuk ahli keluargaku masih tidak berpuas hati dengan keputusan majlis perkahwinanku itu.

Dulang minuman diletakkan di atas meja. Mereka terdiam serentak. Aku menuangkan air ke dalam gelas lalu menghulurkannya pada abah dan Ikram. Ikram sempat mengerling tajam kepadaku. Kenapa pulak ni…hatiku mula berdetik cemas.

Aku mencuri dengar tatkala abah mula bersuara.

“Pak cik harap Am fikirkanlah. Adawiya anak pak cik yang bongsu, yang terakhir sekali dalam keluarga pak cik selepas kakak dan abangnya berkahwin. Walaupun majlis derang pak cik buat kecil – kecilan tapi tetap meriah. Malu pak cik kalau majlis kenduri Adawiya pula kena buat senyap – senyap.Nampak macam anak pak cik tu tak ada maruah, tak ada harga diri. Malu pak cik Am…..malu”, luah abah dengan nada kesal.

Hatiku tersentap dengan kata – kata abah. ‘Maruah’! Ya! Maruah dan harga diri….tanpa aku sedari atau aku alpa akan kekurangan diriku yang satu itu. Satu – satunya maruah dan harga diriku yang telah hilang di tangan lelaki durjana itu. Aku kesal kerana tak mampu untuk berterus – terang pada Ikram. Aku tidak tahu dari mana aku patut mulakan. Peluang yang ada ketika bersamanya selalu disia – siakan. Ah! kalau diikutkan rasa hati ingin saja aku batalkan majlis ini dari terus menanggung seksa menyimpan rahsia silamku itu.

Aku memandang Ikram yang menunduk diam. Tiada bicara yang lahir dari bibir lelaki itu. Resahnya memberi petanda kepadaku.

“Abah…kami kena berangkat sekarang. Dah lewat ni, ada temujanji dengan Kak Zah pasal tempahan baju” celahku setelah melihat Ikram yang semakin gelisah duduknya. Abah mengangguk tanpa berkata sepatah pun.

Ikram bingkas bangun. Menyalami tangan abah dan mengungkap sesuatu,“Saya faham perasaan pak cik, pak cik jangan risau. Saya yakin ini yang terbaik buat kami. Saya minta diri dulu”.

“Harap – harap begitulah. Jaga diri, jangan balik lewat sangat nanti”, mendatar saja percakapan abah. Kecewa barangkali.

“Baiklah pak cik. Kami pergi dulu mak cik” Ikram menyalami emak pula. Aku sekadar mengekori Ikram dari belakang.

“Pergi dulu ya, mak”

“Emm…jaga diri baik – baik. Jangan balik lewat sangat pulak” emak mengingatiku lagi.

“Baik mak”.


***************

Ikram membisu sepanjang perjalanan ke butik pengantin Kak Zah. Aku tahu dia marah. Marahkan abah yang memaksanya mengadakan majlis perkahwinan kami dengan cara yang lebih elok dan manis. Tapi aku rasa permintaan abah dan keluargaku itu wajar dan berpatutan. Tidak pula berlebihan ataupun nampak bermewah – mewahan pada hematku.

Entahlah…aku semakin tidak memahami sikap Ikram yang semakin lama semakin aku rasakan terlalu dingin dan berlainan sekali. Sekaligus menyukarkan aku untuk bercakap dan berterus – terang dengannya.

Setibanya di butik, kami disambut mesra oleh Kak Zah. Sememangnya, Kak Zah seorang yang amat peramah dan mudah mesra pada sesiapa saja yang menjadi pelanggannya. Kak Zah yang baru ku kenali minggu lalu diperkenalkan Ikram sebagai kenalan rapat, jadi ia memudahkan lagi urusan kami.

Kak Zah mengeluarkan busana indah yang telah siap ditempah dan menghulurkannya kepadaku untuk dicuba.

“Wow! Cantiknya Kak Zah” kagum aku melihat hasil rekaan busana itu. Mewah dan sarat dengan labuci yang dijahit kemas di biku lengan dan dada baju. Pasti ribuan harganya.

“Kalau tak cantik jangan panggil nama Kak Zah tau. Kak Zah kena pastikan setiap pelangan Kak Zah mesti dapat yang terbaik dari butik ini. Puas hati tak” ujar Kak Zah mesra.

“Puas hati sangat Kak Zah. Saya suka betul baju ni. Awak suka tak Ikram”.

“Emm...” jawabnya acuh tak acuh. Langsung tidak menghiraukan aku yang sedang mempamerkan busana itu. Eeii…sakitnya hati. Kenapa dengan dia ni…

Kak Zah yang perasan situasi kami, pantas mencelah, “Okay…okay…Wiya cuba dulu baju ni, tengok kalau – kalau ada yang tak kena nanti boleh Kak Zah betulkan semula”.

“Emm…baiklah”.

Aku melangkah menuju ke bilik persalinan yang terletak dibahagian belakang butik tersebut.

“Masih muram lagi. Dah nak nikah minggu depan pun masih tak gembira ke” tegur Kak Zah melihatkan Ikram yang mendiamkan diri sejak dari tadi.

“Entahlah kak. Rasa tak sedap hati pulak sekarang ni” balasnya mendatar.

“Itulah kamu. Nak dapat dua sekali kenalah tanggung risikonya. Patutnya kamu kena gembira sekarang ni” sindir Kak Zah yang sememangnya mengenali Ikram dari kecil lagi.

“Kak, tak kelakar laa….” kerling Ikram. Kak Zah tersenyum meleret.

Tanpa diketahui Adawiya, hubungan Kak Zah dan Ikram bukan hanya sekadar kenalan rapat malah Kak Zah telah dianggap seperti ibunya sendiri. Kepada Kak Zah tempat Ikram mengadu masalah dan mencurahkan segala isi hatinya. Kak Zah adalah orang paling dipercayainya selama ini semenjak pemergian ibu tercinta ketika usianya remaja.

“Akak bukannya apa…Am, kesian tengok Adawiya tu. Lurus betul budaknya. Kenapalah kau tak berterus – terang aje. Cerita yang benar, mana tahu dia boleh terima” nasihat Kak Zah berhati – hati agar tidak menguriskan hati anak muda itu.

“Tahulah saya, kak. Biarkan dulu apa yang berlaku sekarang ni. Selagi boleh simpan…saya simpanlah sampai satu hari nanti, bila tiba waktu yang sesuai, saya ceritakan. Kalau dia pandai simpan rahsianya, saya pun kenalah bijak menyimpannya jugak, kan” balas Ikram menyedapkan hati Kak Zah.

“Suka hati kamulah Am. Akak doakan yang baik – baik aje untuk kamu. Akak harap sangat jangan kamu sia – siakan Adawiya, akak suka dia dari yang sorang lagi tu” luah Kak Zah tulus.

“Takkan saya nak sia – siakan dia. Saya sayang dia…kak. Dari mula saya kenal dia masa Marini tunjukkan gambar dia, saya dah jatuh cinta. Susah payah saya cari dia, baru dapat. Tak mudah nak saya lepaskan” terang Ikram penuh yakin.

“Memang akak puji niat murni kamu…tapi maksud akak, keadaan kamu tu. Kamu kena bagi tahu keadaan kamu yang sudah terikat dengan seseorang”. Kak Zah mengingatkan Ikram akan status dirinya.

“Tengoklah nanti ...kak”.

“Am…Am…jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran pulak nanti” nasihat Kak Zah lagi.

“Amboi! rancaknya berborak” tegurku sebaik menghampiri kedua mereka.

Raut wajah Ikram berubah. Kedua mereka terdiam dan perasaan aneh mula mengigit hatiku.

“Ala...borak – borak kosong aje Wiya. Macam mana baju tu…selesa tak”. Kak Zah sengaja mengubah topik.

“Err…dah okay rasanya Kak Zah” balasku sambil mata mengerling ke arah Ikram yang langsung tidak memandangku. Dia terlalu asyik melayani pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefon bimbitnya yang tak pernah lekang ditangan. Tingkahnya yang tidak mempedulikan aku membuatkan aku hilang ‘mood’ secara tiba – tiba.

“Mari Kak Zah tengok, ada tak bahagian yang perlu Kak Zah ubah” ujar Kak Zah sambil tangannya membelek – belek busana yang ku pakai. Dia membetul - betulkan kedudukan bahu baju, labuh lengan dan kain. Aku hanya berdiri tegak dan membiarkan Kak Zah melakukan tugasnya. Hilang keterujaanku terhadap busana indah ini.

Tumpuanku lebih ke arah Ikram yang masih tidak berganjak dari duduknya bersama telefon bimbit!. Mataku masih tidak kalih dari memerhatikan tingkah Ikram. Siapa yang dilayannya saat ini? Penting sangatkah hingga mengabaikan aku? Untuk apa ke sini kalau dia sekadar untuk menunjukkan sikap acuh tak acuhnya itu?.

“Kak Zah nak tandakan dulu bahagian belakang ni yang kena betulkan sikit, Wiya pergi tukar baju dulu ya” arah Kak Zah.

“Okay...”.

Aku tahu Kak Zah perasan dengan respon yang aku berikan tidak semesra tadi. Aku tidak mampu lagi menyembunyikan emosiku yang semakin menghimpit jiwa. Aku geram dan sakit hati.

Baju nikah yang ditempah ku serahkan semula kepada Kak Zah untuk dibaiki.

“Nanti Kak Zah bawakan baju ni masa hari nikah, bolehkan”.

“Saya ikut aje Kak Zah…tak apa kan, wak” tanyaku kepada Ikram. Dia yang terpinga sekadar menganggukkan kepala. Entah dengar ke tidak pertanyaanku itu. Ke mana jiwanya terbang melayang, aku tak ambil kisah lagi. Rasa kecewaku lebih berat ditanggung dari mengambil tahu apa yang sedang dia fikirkan.

“Awak tak nak cuba baju awak ke?”.

“Tak perlu lah” jawabnya ringkas.

“Suka hati awaklah”. Aku malas nak ambil tahu perasaannya yang dari tadi masih belum reda dengan sesuatu yang tidak memuaskan hatinya.

Aku bingkas bangun mencapai tas tangan. “Jomlah, kita balik”.

“Dah selesai ke”.

Pura – pura tanya pulak.“Dah!”.

“Emm…okay” jawabnya bersahaja. Ikram turut bangun mengekoriku ke muka pintu.

“Eh! kenapa tergesa- gesa ni” Kak Zah bertanya sambil menyalami tanganku.

“Err…ada hal lain nak diselesaikan Kak Zah. Dah petang sangat ni, takut tak sempat pulak nanti” dalihku.

“Kalau macam tu, Kak Zah jumpa kamu masa hari nikah aje nanti ya”. Aku mengangguk bersetuju dengan cadangan Kak Zah.

“Kirim salam pada emak dan abah”. Aku mengangguk lagi.

“Insyaallah Kak Zah….jumpa lagi”.

Kak Zah melemparkan senyuman sambil melambai ke arah kami hingga hilang dari pandangan.

Aku melangkah laju meninggalkan Ikram dibelakang. Aku berpura – pura tidak mendengari panggilannya yang berkali – kali itu. Tiba – tiba tanganku direntap dari belakang.

“Awak ni kenapa?” soalnya.

“Saya rasa saya yang patut tanya soalan tu pada awak”.

“Okay, apa yang tak kena dengan saya. Cuba awak cakap”.

“Saya tak tahu. Tapi sejak awak berbual dengan abah saya, sikap awak jadi lain. Kenapa? Awak marahkan abah?” soalku ingin tahu.

Ikram melepaskan helaan panjang. Dia menarik tanganku untuk ke satu sudut yang tidak terlalu ramai orang. Gedung terkenal yang terletak di tengah bandar JB pastinya menjadi kunjungan orang ramai di hari minggu. Jadi kami terpaksa mencari ruang sudut yang boleh berbicara tanpa gangguan dan tumpuan orang ramai.

Keluhan Ikram kali ini lebih berat kedengaran.

“Saya harap sangat abah awak faham situasi kita. Bukan saya tak mahu buat majlis ni dengan meriah. Tapi saya lebih risaukan keselamatan awak dan saya. Saya tak mahu majlis kita diganggu. Awak faham tak?” , terang Ikram bagi menjelaskan kemahuannya.

“Saya faham kehendak awak. Tapi salah ke abah nak jemput orang – orang kampung, rakan – rakan seperjuangannya dulu dan saudara – mara yang lain. Kalau tak buat meriah pun saya tak kisah, wak. Asalkan semua jemputan diundang untuk meraikan majlis kita ni. Tapi awak nak buat majlis nikah kita secara tertutup pulak. Itu yang saya hairan”.

“Hisy! Awak tak faham ke…saya nakkan privasi. Saya tak mahu diancam semasa majlis nikah kita tu nanti”.

“ Diancam? Dari siapa? ” dahiku berkerut memikirkan ancaman yang ditakuti oleh Ikram.

“Zaqrie dan keluarga dato” Ikram berterus – terang agar mudah rancangannya kelak. Aku melopong mendengarkan pengakuan Ikram itu.

“Zaq…Zaqrie? Dan keluarga dato’? Ta..ta..tapi kenapa?” tiba – tiba suara gugupku tak dapat diselindung lagi.

“Takkan awak tak tahu…kes saya dengan Zaqrie dulu tu, belum selesai. Dato dan keluarganya masih dendam dengan saya. Mereka takkan lepaskan saya macam tu aje”, bohong Ikram untuk mencari helah. Sememangnya Zaqrie adalah saingannya, jadi mudah baginya mengunakan lelaki itu sebagai senjata.

Kali ini kerut didahiku hampir bercantum dengan kening. Aku semakin pelik dengan kenyataan Ikram itu. Setahu aku kes mereka telah selesai dengan aman, mengapa ada dendam lagi. Secara logiknya, kes mereka tiada kaitan lansung dengan majlis yang bakal dirai. Hampir sekian lamanya aku tidak mendengar cerita – cerita mereka lagi sejak tinggal dikampung. Bagaimana mereka boleh dianggap ancaman kepada majlis itu nanti?....Argh! seribu pertanyaan berlegar dimindaku bagi memahami kekusutan yang Ikram alami.

“Emm..entahlah wak. Keliru saya dengan masalah awak ni” getusku perlahan.

“Senang aje. Saya nak privasi. Awak ikut aje apa yang dah kita rancangkan. Tentang abah, pandai – pandailah saya pujuk nanti” ujar Ikram cuba memujukku.

Aku diam dan akur atas apa yang Ikram rencanakan demi kebaikan hubungan aku dan dia.

9 comments:

  1. menyampah betul dgn wiya ni. dia mcm org bodoh. bukan lurus bendul. si ikram ni plak, jahat giler!! bila zaqrie nk selamatkn wiya??

    erkk.. emo plak. huhu. cik writer, sambung la cepat2!!

    ReplyDelete
  2. betul tu, bela la sikit hak diri sendiri. hope so dpt baca part seterusnya next week.

    ReplyDelete
  3. sakit jiwa baca...
    bangang betul si ikram tu

    ReplyDelete
  4. napala wiya mudah sgt percaya...
    benci tol ngn ikram nie la...

    ReplyDelete
  5. Ya..benggang dgn wiya...hrp ayah dia tegas nak juga buat majlis...masa zikri bawa adik dia, biar pecah rahsia...grrrrrr geram betul dgn ikram....TAMAK!!!

    ReplyDelete
  6. cepat2 smbung cik writer...x sabor2 nk tau jd ke x mjlisnye..hehehe

    ReplyDelete
  7. belum ade sambungan ke? nak gak tau ape jadi kat wiya.. jadi kawin ke atau kawin dgn zikri.. mintak2 tak jadi kawin dan kawin dgn zikri...

    ReplyDelete