Tuesday, June 14, 2011

Diulit DOSA CINTA...32

BAB 32

Zurina memerhatikan gelagat Datin Zainab dan Dato Zaid yang agak kalut pagi ini. Zuliana, si bongsu juga turut kelam kabut seperti kedua orang tuanya. Ke mana mereka semua nak pergi ni …detik hati kecil Zurina.

“Papa dan mama bersiap cantik – cantik nak ke mana pagi – pagi buta ni” soal Zurina sambil asyik mengunyah asam ditangan. Datin Zainab tidak segera menjawab sebaliknya memandang anaknya dengan pandangan yang pelik.

“Yang kamu ni pagi – pagi buta makan asam apa kena” jawab Datin Zainab lalu mengambil tempat di meja makan. Dato Zaid turut sama melabuhkan duduknya disebelah isterinya. Mak Som yang telah sedia melayani tuannya menuangkan kopi panas ke dalam cawan. Menyenduk sedikit mee goreng untuk santapan dato’ pagi itu.

“Ala mama, makan asam pun tak boleh. Tekak Ina rasa pahit sikit” balasnya dengan muncung sedepa lalu meletak kembali bungkusan asam ke atas meja.

“Anak kawan nikah hari ni” jawab Datin Zainab tanpa menunggu ditanya.

“Anak kawan mama yang mana satu ?” ujar Zurina ingin tahu.

“Anak Mak Cik Misah dengan Pak Cik Nuar kat Johor tu”. Zurina nyaris tersedak dek biji asam yang berada dalam mulutnya kerana terkejut.

“Huk!...siapa ma? Anak Mak Cik Misah? yang namanya Aaa… err..Ada…”

“Adawiya”.

“Hah! perempuan tu. Perempuan tak malu tu….kahwin jugak dia, siapa lah lelaki malang tu ya ma ” cemuh Zurina dalam tawa kecil.

“Hisy! Ina… tak baik cakap macam tu” marah Datin Zainab.

“Ha’ahlah…akak ni, tak baik cakap kakak Adawiya macam tu. Kakak Adawiya tu baik, cantik, lemah lembut. Tak sombong pun” sampuk Zuliana cuba menafikan tuduhan kakaknya itu.

“Zu mana kenal dia. Zu di kampus, belajar. Masa kejadian dia kena tangkap khalwat dengan abang dulu tu pun Zu tak ada. So, macam mana Zu kata dia baik , tak sombong.Kalau Zu nak tahu dialah yang perangkap abang masa tu tapi nasib baik abang bijak tak jadi kahwin dengan dia kalau tak habis harta kita kan ma” cemuh Zurina lagi beria – ria.

“Ina…Ina…tak baik tuduh Adawiya macam tu”. Datin Zainab mengeleng kepala dengan tingkah Zurina yang terlalu celupar itu. Bimbang dia dengan keceluparan Zurina yang semakin menjadi – jadi.

Dato Zaid sudah mengerling tajam. Renungannya menembusi mata Zurina yang galak. Zurina mulai mengendurkan pandangannya.

“Papa tak suka Ina hina orang macam tu. Satu sifat yang keji di sisi agama sekiranya kita mengutuk atau menghina orang macam tu. Kita tak tahu kebenarannya jadi jangan sesekali buat cerita yang tak betul takut jadi fitnah nanti. Ingat Ina, jangan nak cakap ikut sedap mulut aje!” bidas Dato Zaid dengan tegas. Zurina terdiam, terpukul dengan teguran papanya itu.

Suasana hening seketika di meja makan. Masing – masing tidak berani bersuara lagi. Jelingan Dato Zaid sudah cukup membuatkan mereka takut untuk mengangkat muka sekalipun.

“Morning ma…pa”. Zaqrie muncul menghampiri keluarganya yang sedang bersarapan sejurus pulang dari berjoging. Dia mengerling sekilas ke wajah mama dan adik – adiknya yang agak kelat. Pastinya ada isu hangat yang dibincangkan tadi.

Sebelum melabuhkan duduknya, seperti kebiasaan Zaqrie mencium kedua pipi Datin Zainab penuh kasih dari anak kepada ibunda tercinta. Datin Zainab tersenyum puas.

“Abang…mama aje? Zu nak jugak” Zuliana pura – pura merajuk minta dikasihi pula.

“Okay…okay…untuk adik abang yang paling disayangi..muaahh!” satu ciuman mendarat di dahi Zuliana simbolik kasihnya abang kepada seorang adik. Sememangnya adik yang bongsu ini sangat manja dan paling rapat dengan Zaqrie. Zuliana tersengih gembira, Zurina pula meluat melihatnya. Dia menjuihkan bibir seakan mengejek kemesraan antara dua beradik itu.

“Lama Zu cuti ” soal Zaqrie sambil menuang kopi ke dalam cawan.

“Cuti semester 5 minggu aje bang. Zu cuti ni pun sebab nak tunggu sampai Kak Ina kahwin bulan depan” jawab Zuliana sambil mata mencuri pandang kakaknya yang tersenyum melebar apabila majlis perkahwinannya disebut - sebut. Suka betul dia.

“Macam itulah adik kakak” Zurina tersengih megah.

“Hee…iya lah tu” sengih Zuliana meleret.

“Abang…”

“Emm….”

“Abang tak nak ikut Zu ke JB, kita tengok kak Adawiya kahwin” ajak si adik dengan rasa teruja.

“Abang ada hal sikitlah hari ni Zu” jawab Zaqrie mendatar.

“Ala…bang, jomlah!” tukas adiknya lagi beria - ria.

“Zu kalau nak pergi tak payah ajak abang ke atau sesiapa…beria – ria sangat, bukannya orang penting pun, selebriti ke, anak puteri raja ke. Orang kampung aje Zu….buang masa” sampuk Zurina yang masih tidak berpuas hati dengan ahli keluarganya yang bersungguh untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

“Eeii…kak Ina ni memang teruklah. Kak Ina tu bukan orang kampung jugak ke?. Papa dan mama pun asal Johor, so orang kampung jugaklah kan” ajuk Zuliana yang semakin menyampah dengan perangai kakaknya itu. Zaqrie hanya tersengih sumbing. Bagus tindakan adik bongsunya itu, sekali sekala Zurina patut diajar. Kelancangan mulutnya memang sukar dikawal.

Dato Zaid berdehem beberapa kali seolah – olah memberi petanda awal bahawa perdebatan mereka wajar dileraikan segera.

Mereka yang seakan memahami amaran papanya terdiam sendiri. Cuma Zurina yang masih geram dengan sindiran adiknya itu. Dia mengerling tajam. Zuliana memuncungkan bibirnya mengajuk renungan kakaknya itu. Zaqrie yang perasan mengisyaratkan Zuliana supaya tidak berbuat demikian. Adik bongsunya itu akur lalu menyambung semula sarapannya. Zurina bertambah bengang lebih – lebih lagi adik bongsunya itu mendapat sokongan dari Zaqrie.

Usai bersarapan, Dato’ Zaid bingkas bangun dan dituruti Datin Zainab. Pak Mat pemandu peribadi dato’ telah bersiap sedia menunggu di kereta. Zuliana pula terkocoh – kocoh menghabiskan sarapannya apabila melihat kedua orang tuanya sudah masuk ke dalam perut kereta.

“Tunggu... Zu nak ambil beg tangan kat bilik kejap” jerit Zuliana dengan kuat. Bimbang papa dan mama akan meninggalkannya.

Zaqrie tergelak melihat telatah Zuliana yang kalut berlari mengejarkan kedua orang tuanya yang sedang menunggu di kereta.

“Itulah kamu…banyak bercakap tu sebab lambat” tegur Dato Zaid sebaik Zuliana masuk ke dalam kereta. Dia hanya tersengih manja.

“Papa ni…mana ada Zu banyak cakap. Kak Ina tu…asyik nak kutuk aje. Geram Zu… so I’m tried to tell her the truth only pa..” Zuliana membela dirinya.

“Your always give me excuses…but papa tak suka Zu layan sangat kakak kamu tu”.

“Okay pa…Zu janji tak akan buat lagi” ucap Zuliana sambil memeluk tubuh papanya. Dato Zaid rasa senang dan terhibur melihat kemanjaan anak bongsunya yang pandai mengambil hati.

Zaqrie yang berdiri di muka pintu turut gembira melihat gelagat dua beranak itu berkomunikasi. Sememangnya Zuliana pandai memujuk papanya yang tegas itu.

Enjin kereta dihidupkan. Pak Mat telah bersedia di posisi pemandu.

“Pukul berapa nikahnya bang” tanya Datin Zainab kepada suaminya.

“Abang tak pasti Nab, rasanya dalam tengahari. Pat Mat, pukul berapa majlis tu mula”. Dato Zaid menanyakan kepada pemandunya pula kerana hanya Pak Mat yang akan mengingati segala urusan peribadi dan temujanjinya. Lagipun Pak Mat ada bersama ketika sahabatnya Annuar memberitahu tempoh hari menerusi telefon bimbit. Secara tidak lansung, Pak Mat selaku pemandu peribadi dato, juga memerangkap PA dato untuk urusan – urusan berkaitan keluarganya. Nasib baik juga Pak Mat mengingatkan kelmarin jika tidak pasti mereka akan dimarahi oleh sahabat baik mereka kerana terlupa.

“Lepas Zohor, dato’. Dalam pukul 2” Pak Mat memberitahu. Dato’ Zaid mengangguk faham.

“Zaq, are you sure you don’t want to joins us” dato menyoal untuk kepastian sekian kalinya sebelum mereka meneruskan perjalanan.

“Yup! Pa…. Kirim salam saya pada Pak Cik Nuar dan Mak Cik Misah ya” ujar Zaqrie dengan anggukkan perlahan.

Zuliana pula mencelah, “Abang…dengan kak Adawiya nak kirim salam sekali tak” usik adiknya membuatkan Zaqrie tersenyum tawar. Papa dan mama berpandangan.

“Hisy!...kamu ni Zu, cubalah serius. Jangan nak bergurau pulak” marah Datin Zainab yang mula pening dengan sikap Zuliana. Gurau tak bertempat budak ni…sebagai ibu, dia tahu perasaan Zaqrie pasti terluka.

“Apa pulak gurau ma. Zu seriuslah ni…apa salahnya kawan – kawan, kan bang”.

“Emm…kirimkan salam abang pada dia dan suaminya. Abang doakan mereka bahagia” ucap Zaqrie dengan rasa sebal.

Hakikatnya, keperitan dihati hanya tuhan yang tahu. Hatinya bagaikan hancur saat berita itu sampai ke pengetahuannya. Namun sebagai lelaki dia harus tabah dan redha jika itu sudah tersurat dari Illahi. Dia pasrah dalam kepahitan.

Tiba – tiba…

“Wait…wait…Ina nak ikut” Zurina berlari anak menuju ke kereta sambil mengendong sebuah beg kecil. Mereka yang ada disitu terkejut. Lebih – lebih lagi Zaqrie.

“Kenapa tiba – tiba pulak ni” soal Zaqrie kehairanan.

“Saja…lagipun dah seminggu Ina tak jumpa Ikram. Abang jangan ingat Ina nak pergi majlis kenduri tu pulak, sorry…tak ‘class’ langsung” balas Zurina mendabik dada lalu terus masuk ke dalam kereta.

“Eeii…sibuk betullah kakak ni. Tadi kata tak nak ikut”

“Zu diam!”.

Zuliana menjeling, menyampah dengan perilaku kakaknya yang cakap tak serupa bikin itu.

“Kenapa ubah fikiran pulak Ina” Datin Zainab pula bersuara.

“Mama, Ina bukannya nak ikut ke majlis kahwin tu, tak inginlah …Ina cuma nak tumpang aje. Sampai JB nanti Ina ‘call’ Ikram suruh dia ambil Ina” jelasnya bersahaja.

“Ina ada bagi tahu Ikram dulu?”.

“Itulah masalahnya, sejak Ikram ditukarkan ke cawangan JB, selalu sangat telefon dia tutup. Geram betul Ina…semua ini papa dan abang punya pasal, sengaja tukarkan dia ke sana” sungut Zurina melepaskan geram.

Dato Zaid merengus. “Papa tidak mungkin tukarkan Ikram ke JB kalau bukan itu yang dia mahu. Tapi dia yang beria – ria minta tukar ke JB bukan papa paksa dia. Lagi satu, abang kamu tidak terlibat langsung dalam hal ini. Dia tak nak campur. Abang kamu professional, soal kerja tidak akan dicampur-aduk dengan soal peribadi. Kes pukul tempoh hari pun, abang kamu serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat. Alih – alih laporan itu ditarik balik. Itupun kamu tak faham lagi, masih nak tuduh papa dan abang kamu yang jahat. Papa dah turutkan semua kehendak Ina dan Ikram, Ina nak macam mana lagi”. Leteran dato yang panjang membuatkan telinga masing – masing nanar mendengarnya.

Zurina tidak mampu berkata – kata apa – apa. Walaupun ada kebenaran namun dihatinya masih tetap tidak berpuas hati dengan kenyataan papanya itu. Baginya, papa dan abang sama saja, suka merancang untuk memisahkan dia dengan Ikram kerana dia tahu Ikram tidak setaraf dengan kedudukan mereka. Zurina lebih rela mempercayai Ikram sepenuh jiwa raganya berbanding ahli keluarganya sendiri. Apatah lagi, hampir 5 tahun mereka telah bersama dan mengenali hati budi masing – masing.

“Pak Mat jalan” arah dato tidak mahu berlengah lagi. Jam ditangan diconggak bagi mengira tempoh masa perjalanan yang akan mereka tempuhi.

Zaqrie hanya memerhatikan dari jauh Mercedes mewah keemasan itu meluncur keluar ke jalan besar. Tentunya haru – biru jika Zurina ke sana. Apakah patut dia mencampuri urusan mereka atau membiarkan saja. Membiarkan bererti rahsia akan terbongkar. Zaqrie tidak dapat berfikir apa – apa saat ini.

Namun, jauh di sudut hati, dia tidak tergamak membayangkan keadaan yang bakal terjadi bahkan tak sanggup melihat Adawiya kecewa. Salah dirinya juga kerana tidak berterus – terang tentang Ikram. Namun apakan daya dia cuma mahu gadis kesayangannya itu bahagia dengan pilihannya.

Zaqrie berjalan mundar – mandir sambil berfikir. Dia masih ragu dengan tindakannya. Perlukah dia memberitahu Adawiya sendiri atau menelefon saja Ikram…argh! Kenapa mesti aku menolong lelaki tak guna tu…perasaan Zaqrie berbelah bagi dan berperang sendiri.

Adawiya pula...masakan dia mahu mendengar kata – kata aku saat ini…gumam Zaqrie sendiri.

Dia bimbang dituduh sengaja mensabotaj majlis mereka. Adawiya pasti menyalahkan dan membencinya kelak.

Dia berfikir sejenak.

‘Tak boleh jadi ni…’ Zaqrie pantas mencapai kunci dan bergegas ke keretanya. Telefon dibimbit dikeluarkan dan nombor seseorang didial.

“Hello. Malik, kau kat mana…”

“Okay…tunggu sana. Nanti aku cerita. Aku ‘pick-up’ kau sekarang”.

Talian dimatikan dan kereta dipecut laju ke destinasi yang dituju.

Tuesday, June 7, 2011

Diulit DOSA CINTA...31

BAB 31


Pejam – celik hampir 2 minggu aku sudah berada di kampung. Segala persiapan hari pernikahanku telah ditetapkan pada akhir bulan nanti. Wakil rombongan yang bertandang bagi membincangkan urusan perkahwinan selesai dengan penuh adat.

Cuma yang menjadi kemusykilan keluargaku ialah permintaan keluarga Ikram yang mahukan majlis pernikahan kami dibuat secara tertutup. Majlis kenduri kendara sekadar menjemput sanak – saudara yang rapat saja. Segala persediaan dan kelengkapan untuk majlis nikah juga telah diatur sepenuhnya oleh mereka. Sungguh! aku pelik dengan permintaan pihak Ikram itu.

Abah dan emak mula berfikir yang bukan – bukan . Mereka sama sekali tidak bersetuju perkahwinanku diatur seperti itu, umpama sebuah majlis hanya untuk menutup malu. Abah tidak mahu ia menjadi buah mulut orang lebih – lebih lagi mulut orang – orang kampung yang tinggal berdekatan. Namun setelah didesak beberapa kali oleh mak saudara Ikram barulah abah bersetuju dengan hati yang berat untuk mengadakan majlis kami secara sederhana saja.

Bagaimana harus aku berdepan dengan keluargaku. Apa yang perlu aku jelaskan pada emak dan abah. Ikram lansung tidak membincangkannya denganku terlebih dahulu. Aku jadi terpinga – pinga dan mengumam seribu bahasa.

Mujur juga petang nanti, Ikram mengajakku keluar untuk ke butik perkahwinan bagi mengambil tempahan baju nikah dan membeli sedikit barang – barang keperluan yang lain. Inilah masanya, aku akan bertanyakan hal tersebut. Kalau mengikut perancangan keluarga Ikram, hanya majlis di sebelah perempuan saja yang akan dirai. Pihak lelaki tidak akan mengadakan sebarang majlis di tempat mereka sepertimana yang diminta oleh Ikram sendiri.

Rasa kehairanan semakin membungkam dihati. Apa masalah Ikram sebenarnya? Kenapa dia tidak berbincang dengan aku? Bagaimana harus aku teruskan hidupku dengannya jika hal serumit ini enggan dikongsi?.

Jam dinding hampir menunjukkan pukul 2. Sebentar lagi Ikram pasti akan sampai. Aku yang masih belum bersiap pantas mencapai tuala yang tersidai di birai katil lalu menuju ke bilik mandi.

Bersiap ala kadar dengan blouse ungu samar dan jeans. Tudung yang sama tona warna dipadankan dengan blouse yang ku pakai, masih memberikan penampilanku tampak menawan. Solekan tipis memberikan impak pada keserian wajah agar tidak kelihatan terlalu pucat. Lagipun hampir seminggu juga aku tidak bertemu dengan Ikram. Semenjak dipindahkan ke cawangan di sini, Ikram kerap berulang – alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Jarang benar kami berjumpa kerana kesibukan Ikram. Pastinya, aku tidak ingin dia melihat aku sebagai bakal isterinya itu selekeh.

Usai bersiap, aku melangkah menuruni anak tangga perlahan – lahan. Kedengaran serius perbualan antara abah dengan Ikram. Sememangnya abah masih kurang senang dengan perancangan yang diatur pada majlis perkahwinan kami.

Memandangkan perbincangan mereka yang serius, aku tidak berani nak menegur. Kakiku terus melangkah meluru ke dapur. Melihat emak sedang sibuk menyediakan minuman untuk tetamunya itu, aku pantas membantu.

“Dah lama Ikram sampai mak” tanyaku kepada emak yang sedang membancuh air sirap bandung. Aku mengambil gelas dan menyusunnya di atas dulang.

“Tidak lama sangat, ada 10 minit agaknya”.

“Oh!”

“Kenapa?” emak mengerut kening dan memandangku dengan seribu pertanyaan diwajahnya.

“Err…tak ada apa – apa lah mak” cepat – cepat aku membawa dulang minuman yang telah tersedia ke ruang tamu sebelum emak bertanya lebih lanjut. Aku tahu emak termasuk ahli keluargaku masih tidak berpuas hati dengan keputusan majlis perkahwinanku itu.

Dulang minuman diletakkan di atas meja. Mereka terdiam serentak. Aku menuangkan air ke dalam gelas lalu menghulurkannya pada abah dan Ikram. Ikram sempat mengerling tajam kepadaku. Kenapa pulak ni…hatiku mula berdetik cemas.

Aku mencuri dengar tatkala abah mula bersuara.

“Pak cik harap Am fikirkanlah. Adawiya anak pak cik yang bongsu, yang terakhir sekali dalam keluarga pak cik selepas kakak dan abangnya berkahwin. Walaupun majlis derang pak cik buat kecil – kecilan tapi tetap meriah. Malu pak cik kalau majlis kenduri Adawiya pula kena buat senyap – senyap.Nampak macam anak pak cik tu tak ada maruah, tak ada harga diri. Malu pak cik Am…..malu”, luah abah dengan nada kesal.

Hatiku tersentap dengan kata – kata abah. ‘Maruah’! Ya! Maruah dan harga diri….tanpa aku sedari atau aku alpa akan kekurangan diriku yang satu itu. Satu – satunya maruah dan harga diriku yang telah hilang di tangan lelaki durjana itu. Aku kesal kerana tak mampu untuk berterus – terang pada Ikram. Aku tidak tahu dari mana aku patut mulakan. Peluang yang ada ketika bersamanya selalu disia – siakan. Ah! kalau diikutkan rasa hati ingin saja aku batalkan majlis ini dari terus menanggung seksa menyimpan rahsia silamku itu.

Aku memandang Ikram yang menunduk diam. Tiada bicara yang lahir dari bibir lelaki itu. Resahnya memberi petanda kepadaku.

“Abah…kami kena berangkat sekarang. Dah lewat ni, ada temujanji dengan Kak Zah pasal tempahan baju” celahku setelah melihat Ikram yang semakin gelisah duduknya. Abah mengangguk tanpa berkata sepatah pun.

Ikram bingkas bangun. Menyalami tangan abah dan mengungkap sesuatu,“Saya faham perasaan pak cik, pak cik jangan risau. Saya yakin ini yang terbaik buat kami. Saya minta diri dulu”.

“Harap – harap begitulah. Jaga diri, jangan balik lewat sangat nanti”, mendatar saja percakapan abah. Kecewa barangkali.

“Baiklah pak cik. Kami pergi dulu mak cik” Ikram menyalami emak pula. Aku sekadar mengekori Ikram dari belakang.

“Pergi dulu ya, mak”

“Emm…jaga diri baik – baik. Jangan balik lewat sangat pulak” emak mengingatiku lagi.

“Baik mak”.


***************

Ikram membisu sepanjang perjalanan ke butik pengantin Kak Zah. Aku tahu dia marah. Marahkan abah yang memaksanya mengadakan majlis perkahwinan kami dengan cara yang lebih elok dan manis. Tapi aku rasa permintaan abah dan keluargaku itu wajar dan berpatutan. Tidak pula berlebihan ataupun nampak bermewah – mewahan pada hematku.

Entahlah…aku semakin tidak memahami sikap Ikram yang semakin lama semakin aku rasakan terlalu dingin dan berlainan sekali. Sekaligus menyukarkan aku untuk bercakap dan berterus – terang dengannya.

Setibanya di butik, kami disambut mesra oleh Kak Zah. Sememangnya, Kak Zah seorang yang amat peramah dan mudah mesra pada sesiapa saja yang menjadi pelanggannya. Kak Zah yang baru ku kenali minggu lalu diperkenalkan Ikram sebagai kenalan rapat, jadi ia memudahkan lagi urusan kami.

Kak Zah mengeluarkan busana indah yang telah siap ditempah dan menghulurkannya kepadaku untuk dicuba.

“Wow! Cantiknya Kak Zah” kagum aku melihat hasil rekaan busana itu. Mewah dan sarat dengan labuci yang dijahit kemas di biku lengan dan dada baju. Pasti ribuan harganya.

“Kalau tak cantik jangan panggil nama Kak Zah tau. Kak Zah kena pastikan setiap pelangan Kak Zah mesti dapat yang terbaik dari butik ini. Puas hati tak” ujar Kak Zah mesra.

“Puas hati sangat Kak Zah. Saya suka betul baju ni. Awak suka tak Ikram”.

“Emm...” jawabnya acuh tak acuh. Langsung tidak menghiraukan aku yang sedang mempamerkan busana itu. Eeii…sakitnya hati. Kenapa dengan dia ni…

Kak Zah yang perasan situasi kami, pantas mencelah, “Okay…okay…Wiya cuba dulu baju ni, tengok kalau – kalau ada yang tak kena nanti boleh Kak Zah betulkan semula”.

“Emm…baiklah”.

Aku melangkah menuju ke bilik persalinan yang terletak dibahagian belakang butik tersebut.

“Masih muram lagi. Dah nak nikah minggu depan pun masih tak gembira ke” tegur Kak Zah melihatkan Ikram yang mendiamkan diri sejak dari tadi.

“Entahlah kak. Rasa tak sedap hati pulak sekarang ni” balasnya mendatar.

“Itulah kamu. Nak dapat dua sekali kenalah tanggung risikonya. Patutnya kamu kena gembira sekarang ni” sindir Kak Zah yang sememangnya mengenali Ikram dari kecil lagi.

“Kak, tak kelakar laa….” kerling Ikram. Kak Zah tersenyum meleret.

Tanpa diketahui Adawiya, hubungan Kak Zah dan Ikram bukan hanya sekadar kenalan rapat malah Kak Zah telah dianggap seperti ibunya sendiri. Kepada Kak Zah tempat Ikram mengadu masalah dan mencurahkan segala isi hatinya. Kak Zah adalah orang paling dipercayainya selama ini semenjak pemergian ibu tercinta ketika usianya remaja.

“Akak bukannya apa…Am, kesian tengok Adawiya tu. Lurus betul budaknya. Kenapalah kau tak berterus – terang aje. Cerita yang benar, mana tahu dia boleh terima” nasihat Kak Zah berhati – hati agar tidak menguriskan hati anak muda itu.

“Tahulah saya, kak. Biarkan dulu apa yang berlaku sekarang ni. Selagi boleh simpan…saya simpanlah sampai satu hari nanti, bila tiba waktu yang sesuai, saya ceritakan. Kalau dia pandai simpan rahsianya, saya pun kenalah bijak menyimpannya jugak, kan” balas Ikram menyedapkan hati Kak Zah.

“Suka hati kamulah Am. Akak doakan yang baik – baik aje untuk kamu. Akak harap sangat jangan kamu sia – siakan Adawiya, akak suka dia dari yang sorang lagi tu” luah Kak Zah tulus.

“Takkan saya nak sia – siakan dia. Saya sayang dia…kak. Dari mula saya kenal dia masa Marini tunjukkan gambar dia, saya dah jatuh cinta. Susah payah saya cari dia, baru dapat. Tak mudah nak saya lepaskan” terang Ikram penuh yakin.

“Memang akak puji niat murni kamu…tapi maksud akak, keadaan kamu tu. Kamu kena bagi tahu keadaan kamu yang sudah terikat dengan seseorang”. Kak Zah mengingatkan Ikram akan status dirinya.

“Tengoklah nanti ...kak”.

“Am…Am…jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran pulak nanti” nasihat Kak Zah lagi.

“Amboi! rancaknya berborak” tegurku sebaik menghampiri kedua mereka.

Raut wajah Ikram berubah. Kedua mereka terdiam dan perasaan aneh mula mengigit hatiku.

“Ala...borak – borak kosong aje Wiya. Macam mana baju tu…selesa tak”. Kak Zah sengaja mengubah topik.

“Err…dah okay rasanya Kak Zah” balasku sambil mata mengerling ke arah Ikram yang langsung tidak memandangku. Dia terlalu asyik melayani pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefon bimbitnya yang tak pernah lekang ditangan. Tingkahnya yang tidak mempedulikan aku membuatkan aku hilang ‘mood’ secara tiba – tiba.

“Mari Kak Zah tengok, ada tak bahagian yang perlu Kak Zah ubah” ujar Kak Zah sambil tangannya membelek – belek busana yang ku pakai. Dia membetul - betulkan kedudukan bahu baju, labuh lengan dan kain. Aku hanya berdiri tegak dan membiarkan Kak Zah melakukan tugasnya. Hilang keterujaanku terhadap busana indah ini.

Tumpuanku lebih ke arah Ikram yang masih tidak berganjak dari duduknya bersama telefon bimbit!. Mataku masih tidak kalih dari memerhatikan tingkah Ikram. Siapa yang dilayannya saat ini? Penting sangatkah hingga mengabaikan aku? Untuk apa ke sini kalau dia sekadar untuk menunjukkan sikap acuh tak acuhnya itu?.

“Kak Zah nak tandakan dulu bahagian belakang ni yang kena betulkan sikit, Wiya pergi tukar baju dulu ya” arah Kak Zah.

“Okay...”.

Aku tahu Kak Zah perasan dengan respon yang aku berikan tidak semesra tadi. Aku tidak mampu lagi menyembunyikan emosiku yang semakin menghimpit jiwa. Aku geram dan sakit hati.

Baju nikah yang ditempah ku serahkan semula kepada Kak Zah untuk dibaiki.

“Nanti Kak Zah bawakan baju ni masa hari nikah, bolehkan”.

“Saya ikut aje Kak Zah…tak apa kan, wak” tanyaku kepada Ikram. Dia yang terpinga sekadar menganggukkan kepala. Entah dengar ke tidak pertanyaanku itu. Ke mana jiwanya terbang melayang, aku tak ambil kisah lagi. Rasa kecewaku lebih berat ditanggung dari mengambil tahu apa yang sedang dia fikirkan.

“Awak tak nak cuba baju awak ke?”.

“Tak perlu lah” jawabnya ringkas.

“Suka hati awaklah”. Aku malas nak ambil tahu perasaannya yang dari tadi masih belum reda dengan sesuatu yang tidak memuaskan hatinya.

Aku bingkas bangun mencapai tas tangan. “Jomlah, kita balik”.

“Dah selesai ke”.

Pura – pura tanya pulak.“Dah!”.

“Emm…okay” jawabnya bersahaja. Ikram turut bangun mengekoriku ke muka pintu.

“Eh! kenapa tergesa- gesa ni” Kak Zah bertanya sambil menyalami tanganku.

“Err…ada hal lain nak diselesaikan Kak Zah. Dah petang sangat ni, takut tak sempat pulak nanti” dalihku.

“Kalau macam tu, Kak Zah jumpa kamu masa hari nikah aje nanti ya”. Aku mengangguk bersetuju dengan cadangan Kak Zah.

“Kirim salam pada emak dan abah”. Aku mengangguk lagi.

“Insyaallah Kak Zah….jumpa lagi”.

Kak Zah melemparkan senyuman sambil melambai ke arah kami hingga hilang dari pandangan.

Aku melangkah laju meninggalkan Ikram dibelakang. Aku berpura – pura tidak mendengari panggilannya yang berkali – kali itu. Tiba – tiba tanganku direntap dari belakang.

“Awak ni kenapa?” soalnya.

“Saya rasa saya yang patut tanya soalan tu pada awak”.

“Okay, apa yang tak kena dengan saya. Cuba awak cakap”.

“Saya tak tahu. Tapi sejak awak berbual dengan abah saya, sikap awak jadi lain. Kenapa? Awak marahkan abah?” soalku ingin tahu.

Ikram melepaskan helaan panjang. Dia menarik tanganku untuk ke satu sudut yang tidak terlalu ramai orang. Gedung terkenal yang terletak di tengah bandar JB pastinya menjadi kunjungan orang ramai di hari minggu. Jadi kami terpaksa mencari ruang sudut yang boleh berbicara tanpa gangguan dan tumpuan orang ramai.

Keluhan Ikram kali ini lebih berat kedengaran.

“Saya harap sangat abah awak faham situasi kita. Bukan saya tak mahu buat majlis ni dengan meriah. Tapi saya lebih risaukan keselamatan awak dan saya. Saya tak mahu majlis kita diganggu. Awak faham tak?” , terang Ikram bagi menjelaskan kemahuannya.

“Saya faham kehendak awak. Tapi salah ke abah nak jemput orang – orang kampung, rakan – rakan seperjuangannya dulu dan saudara – mara yang lain. Kalau tak buat meriah pun saya tak kisah, wak. Asalkan semua jemputan diundang untuk meraikan majlis kita ni. Tapi awak nak buat majlis nikah kita secara tertutup pulak. Itu yang saya hairan”.

“Hisy! Awak tak faham ke…saya nakkan privasi. Saya tak mahu diancam semasa majlis nikah kita tu nanti”.

“ Diancam? Dari siapa? ” dahiku berkerut memikirkan ancaman yang ditakuti oleh Ikram.

“Zaqrie dan keluarga dato” Ikram berterus – terang agar mudah rancangannya kelak. Aku melopong mendengarkan pengakuan Ikram itu.

“Zaq…Zaqrie? Dan keluarga dato’? Ta..ta..tapi kenapa?” tiba – tiba suara gugupku tak dapat diselindung lagi.

“Takkan awak tak tahu…kes saya dengan Zaqrie dulu tu, belum selesai. Dato dan keluarganya masih dendam dengan saya. Mereka takkan lepaskan saya macam tu aje”, bohong Ikram untuk mencari helah. Sememangnya Zaqrie adalah saingannya, jadi mudah baginya mengunakan lelaki itu sebagai senjata.

Kali ini kerut didahiku hampir bercantum dengan kening. Aku semakin pelik dengan kenyataan Ikram itu. Setahu aku kes mereka telah selesai dengan aman, mengapa ada dendam lagi. Secara logiknya, kes mereka tiada kaitan lansung dengan majlis yang bakal dirai. Hampir sekian lamanya aku tidak mendengar cerita – cerita mereka lagi sejak tinggal dikampung. Bagaimana mereka boleh dianggap ancaman kepada majlis itu nanti?....Argh! seribu pertanyaan berlegar dimindaku bagi memahami kekusutan yang Ikram alami.

“Emm..entahlah wak. Keliru saya dengan masalah awak ni” getusku perlahan.

“Senang aje. Saya nak privasi. Awak ikut aje apa yang dah kita rancangkan. Tentang abah, pandai – pandailah saya pujuk nanti” ujar Ikram cuba memujukku.

Aku diam dan akur atas apa yang Ikram rencanakan demi kebaikan hubungan aku dan dia.