Monday, April 19, 2010

Diulit DOSA CINTA...24

BAB 24

Dato’ memandang wajah pucat Zaqrie dihadapannya yang kelihatan tidak bermaya. Dokumen yang dibaca sebentar tadi ditutup dan diletakkan ke tepi. Memberi laluan kepada anaknya untuk berbicara.

“Pa, pagi ni Zaq terpaksa batalkan meeting dengan client kita, Alam Engineering. Zaq rasa kurang sihat. Mybe meeting tu Zaq tunda minggu depan aje” dalam nada lemah dan suaranya yang sedikit serak dia memaklumkan kepada papanya.

Dato’ mengangguk. “Kenapa Zaq tak nak gantikan dengan orang lain aje untuk attend meeting tu” .

“Kalau boleh Zaq nak hadir sendiri pa, sebab ini projek Zaq. So lebih baik kalau Zaq sendiri yang dengar ‘presentation’ mereka dan mudah Zaq nak buat keputusan nanti dari hantar orang lain untuk gantikan Zaq. Takut info tak cukup nanti” panjang lebar Zaqrie memberikan pendapatnya. Lagipun itu memang prinsipnya. Dia lebih suka melakukan sendiri agar setiap maklumat yang diperolehi lebih jelas dan tepat.

“Bagus…papa suka cara Zaq bekerja. Kalau macam tu nanti papa ‘inform’ Dato Borhan. Minta dia tangguhkan perbincangan tu hingga minggu depan. Lagipun petang nanti papa ada ‘game’ dengan dia bersama Tan Sri Asri. Kalau Zaq nak ikut boleh join papa sekali”.

“Golf?”

“Yup!”

“Ish! tak pe la pa. Tak masuk jiwa lah ‘game’ tu. Lagipun Zaq kurang sihat ni. Badan rasa ….” ayatnya tak sempat dihabiskan apabila tiba – tiba daun pintu dikuak orang.

Muncul Mastura membawa ‘coffee’ yang dipesan dato’ sebentar tadi.

“Hah! panjang umur. Sebut nama bapa, anak yang muncul” dato’ ketawa kecil. Zaqrie hanya tersenyum tawar. Padanya tak ada apa yang lucu pun lebih – lebih lagi bila nama perempuan ini yang dikait.

Coffee yang dipesan diletakkan di atas meja. Mastura sempat melirik ke arah Zaqrie. Zaqrie tidak mengendahkan lirikan itu. Wajahnya bersahaja.

“Emm..kalau macam tu. Zaq balik dulu berehat. Nanti papa call kan Doktor Amir ya”

Zaqrie cuma mengangguk.

“Eh! abang Rimie demam ke?” terpa Mastura secara tiba – tiba dan tangannya menyentuh dahi Zaqrie. Zaqrie yang terkejut menepis tangan itu. Giler! Terperanjat aku.

“Awak ni kenapa Mastura?. Dah hilang akal ke? Behave your self” marah Zaqrie yang sememangnya terkejut dengan terpaan melulu Mastura.

“Sa..sa…saya bimbangkan kesihatan En. Zaqrie” tergagap –gagap suaranya.

“Saya dah dewasa bukannya budak – budak. Sudah..keluar!” pekik Zaqrie memerintah Mastura keluar dari bilik itu.

Mastura yang ketakutan meninggalkan bilik itu dengan langkah seribu. Hatinya terguris dengan perlakukan Zaqrie. Sakit hatinya semakin meluap – luap. Dimalukan dihadapan dato’ secara terang - terangan. Marahnya membukit. Dia memasang dendamnya sedikit demi sedikit. Zaqrie perlu diajar satu hari nanti. Belajar bagaimana cara untuk menghargai dan mencintai orang yang berkorban kasih untuknya.

“Kenapa Zaq tengking Mas macam tu sekali. Tak baik” tegur dato’ secara perlahan. Dia faham keadaan Zaqrie, namun begitu tak seharusnya Zaqrie melayani Mastura sekasar itu lebih – lebih lagi dia adalah anak kepada Dato Borhan, sahabat perniagaannya.

“Entahlah pa, perasaan ni macam tak tenteram. Rasa macam tertekan sekarang ni. Nantilah Zaq minta maaf pada dia” luah Zaqrie dengan rasa menyesal.

“Itulah…papa suruh kahwin kamu tak nak. Dah ada peluang dulu Zaq tolak. Sekarang apa jadi…” sindir dato’ lalu bingkas bangun memeluk bahu anaknya.

“Paa…please…”

Dato’ ketawa kecil melihat wajah Zaqrie sudah berubah. Zaqrie tak mampu senyum lagi. Kebenaran yang harus ditelan. Sungguh dia menyesal. Menyesal dengan keputusan yang diambil dulu. Terlalu terburu – buru tanpa memikirkan kesan kepada dirinya, hatinya, jiwanya dan perasaannya yang diamuk kerinduan dan sengsara. Sebaliknya, dia mengorbankan cintanya demi kebahagiaan Adawiya. Keputusannya ini dirasakan berasas dan terbukti gadis itu telah memilih jalan bahagianya. Adawiya telah memilih Ikram. Itu yang menyakitkan hatinya tapi kebahagiaan buat Adawiya dia akur.

Zaqrie meninggalkan pejabat sejurus perbualannya dengan Dato’ Zaid berakhir. Pening dikepalanya semakin memberat. Suhu badan juga seakan menaik ke paras yang tinggi. Zaqrie mengagahi langkahnya untuk sampai ke banglo secepat mungkin. Dia ingin segera merebahkan tubuhnya yang dirasakan semakin melemahkan pergerakkannya.

Sebaik melangkah masuk, Zaqrie terpandang sepasang kasut perempuan di depan muka pintu. Ada tetamukah? Siapa?

Zaqrie membiarkan persoalan itu termati dibenaknya. Sakit dikepala semakin berdenyut – denyut. Dia melihat seorang gadis bertudung sedang berbual dengan mama. Tak pasti siapa gerangannya kerana gadis itu membelakanginya. Zaqrie tidak mengendahkan tetamu itu. Dia menuju ke arah biliknya.

“Eh! Zaq. Awalnya balik hari ini ” tegur datin Zainab sebaik ternampak kelibat Zaqrie yang sedang melangkah naik.

“Zaq, tak berapa sihat ma. Zaq naik berehat dulu ya” ujar Zaqrie dalam keadaan lemah. Pandangannya mula kabur. Terasa ingin rebah disitu juga.

“Zaq tak nak jumpa Adawiya dulu” tutur datin Zainab. Gadis bertudung itu berpaling. Pandangan mereka bertaut.

Adawiya?!. Serta – merta Zaqrie rebah di kaki tangga.


**********************

Doktor Amir memberikan suntikan di lengan Zaqrie. Aku memejamkan mata. Fobia pada benda - benda tajam terutama jarum. Kemudian dia berbincang sesuatu dengan datin Zainab. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka yang nampak serius. Hatiku tertanya – tanya.

Aku masih menanti di sisi Zaqrie yang masih lena. Wajahnya ku renung. Baru kini aku dapat melihat jelas wajahnya yang sedikit cengkung. Namun begitu tidak sedikitpun menjejaskan ketampananya. Tiba – tiba aku tertarik untuk terus menatap wajah itu. Tenang dan kacak. Kulitnya cerah bersih, punyai alis yang tebal, hidungnya yang mancung, matanya dalam dan sedikit belahan didagu walaupun tidak berapa jelas lekuknya. Barangkali raut wajah inilah yang menjadi kegilaan gadis – gadis selama ini.

Entah mengapa semakin kutatap semakin jiwaku bergelora. Cepat – cepat kualihkan pandangan. Beristighfar panjang atas kealpaanku. Masakan aku menjatuhkan maruahku sendiri dengan perlakuan demikian. Aku harus sedar diri, aku kini tunangan orang.

Lama benar datin Zainab meninggalkan aku bersama Zaqrie di bilik ini. Hatiku bertambah gelisah menunggu. Jam tangan dikerling hampir masuk waktu Zohor. Aku tak boleh berlama di sini. Janjiku pada Ikram yang akan menjemputku di rumah Salina petang nanti menagih masaku. Ikram bertegas ingin menghantar aku ke Stesen Puduraya. Malam ini aku akan bertolak pulang ke kampung semula.

Tambah lagi Ikram tidak mengetahui akan kedatangan sebenar aku mengikutinya pagi ini ke Kuala Lumpur. Pasti Ikram memarahi aku sekiranya dia mengetahui aku masih menghubungi keluarga Zaqrie. Tapi hairan jugak mengapa aku dilarang begitu. Ah! mungkin sayangnya padaku berlebih – lebih. Aku tersenyum sendiri.

Kemunculan datin Zainab melegakan aku. Aku harus berangkat segera.

“Wiya nak ke mana ni” soal datin Zainab sebaik melihat aku sudah bangun dari tempat duduk.

“Wiya tak boleh lama – lama auntie. Ada janji dengan kawan petang nanti”

“Kot ye pun tunggu lah Zaqrie sedar. Tak kesian ke Wiya dengan dia. Zaqrie dah banyak berubah sejak kejadian hari tu. Auntie tengok setiap hari dia bersedih.Jarang benar dia nak senyum sekarang apatah lagi nak bergurau senda.” sedih nada datin Zainab meluahkan perasaannya.

Aku duduk semula. Tekun mendengar luahannya.

“Auntie faham benar perasaannya. Dia ni memang suka cakap lain dari maksud hatinya. Auntie tahu …auntie kenal Zaqrie. Sekarang dia menganggung derita Wiya. Auntie tak sampai hati tengok dia macam ni” ucapnya lagi.

Sambil mengenggam erat tanganku. Datin Zainab menangis.

“Sebenarnya Zaqrie amat cintakan Wiya. Percayalah cakap auntie. Wiya maafkanlah dia….terima dia semula ya” pinta datin Zainab dengan penuh harapan.

Aku mengeleng. Untuk menunaikan permintaan datin Zainab adalah sesuatu yang mustahil. Lagipun bukan aku yang perlu kembali padanya sebaliknya aku yang patut menagih jawapan darinya atas keenggannya mengahwini aku…atas tanggungjawabnya kerana dosa lalu. Kerana itu juga aku sekeluarga terpaksa menanggung malu.

“Kenapa Wiya? Wiya tak sayangkan Zaqrie ”

“Auntie….sukar untuk saya ceritakan sekarang ni. Tetapi apa yang pasti saya bukan jodoh buat Zaqrie. Tak mungkin saya dan dia boleh bersama. Saya telah bertunang auntie” terangku kepada datin Zainab yang kelihatan terkejut. Berkerut – kerut keningnya bagaikan tak percaya dengan apa yang aku perkatakan.

“Auntie tak percaya. Bila? Dengan siapa?”

“Ik…..” ayatku termati disitu tatkala melihat tangan Zaqrie bergerak.

“Err…Zaqrie dah sedar”. Aku memandangnya yang masih lemah untuk membuka mata. Datin Zainab terus mendakap Zaqrie yang sudah mula bergerak.

Datin Zainab terharu dalam gembira. Zaqrie mula membuka matanya perlahan – lahan. Dari seraut wajah tua yang direnungnya, Zaqrie beralih pula ke arah gadis bertudung yang berada di sisinya. Dia tersenyum pahit.

“Zaq haus lah ma”

Itu ayat pertama yang ku dengar dari bibirnya. Aku menawarkan diriku untuk mengambilnya. Simpati juga melihat keadaan Zaqrie.

“Zaq demam panas. Doktor Amir datang rawat Zaq tadi. Zaq kena banyak berehat ya sayang” ucap datin Zainab lembut memanjai Zaqrie seperti anak kecil.

“Kenapa dia datang ma”

“Siapa? Adawiya?” datin Zainab tersenyum apabila Zaqrie hanya membahasakan panggilan ‘dia’ buat Adawiya. Selama ini nama gadis itu sering disebut mesra oleh anaknya.

“Wiya datang pulangkan cincin. Mama sedih kenapa semuanya jadi begini. Adawiya dah bertunang. Kalau tak kerana Zaq dulu, mesti sekarang ni dia jadi menantu mama. Bagi mama cucu. Sekarang tengok Zaq jugak yang melopong. Adawiya sudah jadi milik orang. Punah harapan mama selama ini” kata datin Zainab dalam nada sedih.

“Belum tentu ma” ringkas Zaqrie menjawab.

Datin Zainab mengerut dahi. Pelik benar jawapan Zaqrie. Menatap wajah anaknya, meneka apakah yang bermain di fikiran anaknya itu. Datin Zainab berpaling apabila Mak Mah memanggilnya. Bergegas membuntuti wanita separuh usia itu.

Aku tiba membawa minuman buat Zaqrie. Terkejut melihat datin Zainab tiada di bilik itu. Suasana bertukar kekok. Zaqrie mengukir senyuman. Segaris senyuman yang membuatkan langkahku menjadi kaku.

“Kenapa tercegat kat situ” soal Zaqrie dengan renungannya yang tajam menikam. Matanya tertumpu ke arah tubuhku. Melirik dari atas hingga ke bawah. Tubuhku bagaikan ditelanjangi oleh panahan matanya. Aku jadi serba – salah. Mahu tak mahu terpaksa juga aku gagahi menghulurkan minuman itu kepadanya.

“Sayang jugak awak kat saya ” Zaqrie tersenyum sinis. Meneguk air yang berada ditangan.

“Emm..manis”

Aku kerut kening. Manis? Apa yang manis. Bukannya air sirap ke, air oren ke cuma air kosong aje. Demam lagi kot. Mungkin kepanasan badannya telah menjejaskan otak Zaqrie. Aku tersenyum dalam hati.

“Manis..tersangat manis” tukasnya lagi dengan senyum simpul.

“Awak ni kenapa? Manis…manis dari tadi”

Zaqrie ketawa. Tubuhnya terasa sihat dan segar dengan kehadiran Adawiya di sisi. Penampilan baru gadis itu membuatkan Zaqrie semakin lama ingin merenungnya.

“Takde apa –apa. Cuma orang yang bagi saya air tadi cukup manis … sungguh ayu” selorohnya.

Aku mencebik. Tak tahu nak berbuat apa – apa. Baru aku sedar apa yang direnungnya. Pujiannya membuatkan pipiku terasa panas. Aku tercegat disitu bagaikan patung. Kaki ingin saja melangkah pergi. Tak larat menahan renungan Zaqrie yang tidak reti surut. Nampaknya dia sudah pulih dan kelihatan semakin segar, rasanya khidmatku tidak lagi diperlukan di sini. Datin Zainab pun satu lama betul menghilang.

“Kalau tak de apa –apa, biarlah saya keluar dulu”

Pantas tangan Zaqrie memaut lenganku. “Nanti dulu Wiya” pintanya. Aku merenung tajam pautan itu. Zaqrie yang tersedar melepaskannya.

“Saya minta maaf” sayu suaranya.

Aku tidak memandangnya. Hatiku terguris. Lebih lama aku disitu lebih tak keruan hatiku.

“Saya pun dah lupa En. Zaqrie. Awak ada buat salah ke kat saya ke?” perliku.

“Wiya ..jangan buat saya macam ni..please. Saya rindu kat awak” rayu Zaqrie. Matanya liar mencari anak mataku. Terpaksa aku memalingkan muka ke arah lain. Bimbang terkena panahan matanya yang penuh berahi.

“Tolonglah .. Zaqrie. Lepaskanlah saya. Jangan ganggu hidup saya lagi. Biarkan saya memilih hidup saya sendiri. Biarkan saya bahagia dengan cara saya.Saya tak mahu hidup dalam bayangan awak. Cukuplah dengan apa yang telah awak rampas dari saya dulu. Lagipun saya sudah bertunang dan saya tak mahu berlaku curang padanya”.

“Kenapa pula awak nak curang?. Saya yang merindui awak, saya yang tergila – gilakan awak dan saya yang mencintai awak separuh mati …cuma saya …saya seorang ..Wiya. Melainkan awak juga punya perasaan yang sama terhadap saya” luah Zaqrie menduga perasaanku.

Aku terkedu. Memang lelaki ini sukar memahami kehendak hatiku. Tahukah kau bahawa kata – kata yang terlafaz dari bibirmu bisa mencairkan hatiku. Bisa meruntunkan jiwaku. Bisa membuatkan aku jatuh cinta. Argh! Lelaki sememangnya tidak pernah mengotakan kata – katanya. Mulut dan hati kata cinta, sayang tapi perlakuannya hanya menyakit hati saja.

Aku benar – benar tak faham apa yang terpendam di kalbunya. Apa yang dia inginkan dari aku? Apa yang bermain difikirannya? Apakah dia ingin melihat aku terseksa. Terseksa dengan sikapnya yang ambil mudah setiap perkara.

Aku dah tak sanggup untuk berlama lagi. Mengulangi permintaanku untuk beredar pergi.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa pergi sekarang”.

Zaqrie hanya memandang aku berlalu tanpa sebarang ucapan. Pandangan sayu dan raut wajahnya sugul benar – benar membuatkan hatiku tersentuh. Dikelopak mata manik – manik kaca hampir gugur. Berat langkahku. Berat hatiku meninggalkan rasa cinta disini. Titisan airmata diseka dengan jari. Sakitnya hati, merananya jiwa menanggung kepedihan cinta. Separuh jiwaku telah dihilang. Hilang bersama lelaki ini.

Tanpa disedari, sepasang mata dicelahan birai pintu turut menitiskan airmata. Kecewa dengan apa yang dilihat. Berharap hari – hari yang mendatang akan tercipta kebahagiaan untuk anak bujangnya.

11 comments:

  1. hohohho.....
    zaq rbutla ati wiya 2....
    wiya hnya untk zaq...
    bkn ikram or sape pun.....
    ikram x lyak dpt wiya...
    dia dah ada salina....
    sy x sbr nak tnggu kbnran mncul akbat prbuatan ikram...

    ReplyDelete
  2. cepat la kantoi kn si ikram yg bengong tu! adehh.. geram2!

    ReplyDelete
  3. so sadla,zaq3 cepat2lah tackle wiyaa!!

    ReplyDelete
  4. sedihnyaaaaaaaaaaa...
    ikram 2 tak jujur...
    dah setuju nak kawin ngn adek Zaq...
    tp boleh plak g tunang ngn Wiya...
    ntah2 klu taw Wiya dah tak dara...
    trus tinggalkan Wiya mcm 2 ja..huh!!! benci2!!!
    sian dkt Zaq...

    ReplyDelete
  5. adussss pening...pening...cepatlah kantoikan ikram so that zaq boleh dptkan balik wiya!!!!!

    ReplyDelete
  6. huhhh nak zaq dgn wiya..xmo ikram ngn wiya.. sambung lagi.. gambate..

    ReplyDelete
  7. biarlah zaqrie dgn adawiya....

    ReplyDelete
  8. bila nak sambung lg.. xsabar lak rasenye nak baca lg.. best la novel ni..........

    ReplyDelete
  9. bestnyer...naperlah zaq tolak wiya dulu..dah ada peluang lepaskan...mmmm..sambung lagi

    ReplyDelete
  10. padan muke zaq..dulu ada peluang kawen dgn wiya xmo..skrg baru tau rasa rindu tu mcm mn..
    haila dunia..its so complicated..
    ape2pn nk wiya dgn zaq..MUKTAMAD..!!!

    ReplyDelete
  11. hi...sy nk tanye novel ni dh ada d psran ke blm? klu dh terbitan sykt mane yek? nk beli rr... best giler...xsabo nk tau ksudahnye...

    ReplyDelete