Tuesday, September 6, 2011

Diulit DOSA CINTA...34

BAB 34

“Macam mana Nuar? Aku tak boleh tunggu lama ni, ada urusan nikah  di tempat lain pulak” ujar Pak Imam yang mula bosan menunggu.

“Eerr…maafkan kita Pak Imam. Kita dah cuba menelefon pihak lelaki tapi tak berjawab. Pak Imam tunggu sekejap ya, kita nak cuba tanyakan pada anak kita Adawiya dulu” balas Annuar dengan rasa serba – salah. Perasaan geram dan marah bercampur – baur, mujur juga dia dapat mengawalnya di depan sanak – saudara yang tidak berapa ramai itu .

Annuar membisikkan sesuatu di telinga isterinya, Kamisah. Wanita itu segera bangun dan berlalu menuju ke bilik anak gadisnya. Tidak berapa lama Kamisah muncul semula.

“Tak berjawab jugak bang. Banyak kali jugak Wiya menelefon Ikram. Dia pun tak tahu apa yang dah jadi. Nombor telefon saudara – mara Ikram pun tak disimpannya budak bertuah tu. Macam mana ni bang” gesa Kamisah dengan nada ditahan - tahan . Bimbang didengari orang yang turut ada di situ. Namun, masing – masing sudah saling memandang dan mula berbisik sesama mereka.

“Hisy..nak buat macam mana. Saya pun dah tak tahu nak buat apa, Misah. Pak Imam tak boleh nak tunggu lama lagi tu” bentaknya dengan rasa geram yang memuncak.

“Dapat hubungi pihak lelaki tu Nuar?” tegur Pak Imam sejurus melihat kemunculan Kamisah.

“Belum lagi, Pak Imam” Annuar mengelengkan kepala perlahan. Raut wajahnya berubah, menahan malu dan amarah yang semakin menyesak dada.

“Emm…macam ni lah Nuar, aku tunggu 15 minit lagi. Pukul 3.30 nanti aku terpaksa gerak sebab nak nikahkan satu pasangan lagi di kampung sebelah” terang Pak Imam dengan rasa simpati terhadap Annuar yang juga kenalannya.

“Terima kasih Pak Imam. Kita dah tak tahu nak cakap apa lagi. Malu kita, Pak Imam…malu sebab dah susahkan Pak Imam” luah Annuar dalam nada kesal.

“Bersabarlah Nuar. Istighfar banyak – banyak…tak pe, aku tunggu sekejap lagi”.

Annuar hanya mampu mengangguk tanpa sebarang kata. Kamisah turut menyabarkan suaminya, firasatnya mengatakan barangkali terjadi sesuatu yang buruk pada Ikram. Jika  tidak, mustahil Ikram tidak menjawab panggilan mereka yang kali – kali itu. Kamisah masih menaruh kepercayaan pada bakal menantunya itu. Dia tahu Ikram tidak akan mensia – siakan anaknya Adawiya.

Sementara di dalam bilik, penantianku amat menyeksakan. Beberapa kali telefon di dail, masih tidak berjawab. Aku bingung memikirkannya. Apakah yang telah terjadi pada Ikram? Kemalangankah? Argh! Aku segera membuang andaian buruk itu.

“Sabar Wiya. Kita doa yang baik – baik untuk Ikram. Mesti ada kecemasan tu, Ikram takkan tergamak nak buat kau macam ni” Salina cuba menenangkan aku.  Aku memandangnya dan mengangguk. Tiada bicara yang mampu aku luahkan lagi. Hanya rasa gusar dan takut menyelubungi jiwaku yang kian parah menanti.

“Eh! eh! tu ada kereta dah sampai. Cepat Wiya…” teriak Salina memanggilku. Girang hatiku dengan perkhabaran itu. Andaian buruk tentangnya lenyap serta – merta. Aku berlari anak menuju ke tempat Salina berdiri. Melalui jaringan tingkap, aku cuba mengintai kehadiran mereka.

“Tapi peliklah Wiya, tu macam kereta dato kan. Kau cakap tak jemput mereka. Yang belakang tu kereta Ikram, tapi siapa pulak perempuan di sebelahnya” kemusyikalan pertanyaan Salina membuatkan dengupan jantungku menjadi kencang.

Aku mengamati dari jauh perempuan yang dikatakan oleh Salina itu. Rasa debar semakin mencengkam jiwa. Susuk tubuh itu tidak pula seperti gaya seorang yang dikatakan adik atau lebih tepat adik perempuan Ikram seperti yang diceritakan sebelum ini. Berpenampilan anggun dan sedikit seksi. Aku seperti mengenali gadis itu, tapi di mana?. emm...

Ah! terdetik kembali diingatanku, itukan perempuan yang berkepit dengan Ikram semasa Majlis Makan Malam Tahunan syarikat tahun lepas. Berderau darahku memikirkan yang bukan – bukan tentang hubungan mereka berdua? Dan satu lagi, kenapa Ikram datang bersama keluarga dato’?  Zaqrie?! Hadirkah lelaki itu?..tapi tidak pula aku nampak kelibatnya. Apa dah jadi ni, aku mula rasa tak sedap hati.

“Jom Wiya. Mereka dah sampai tu, betulkan sikit tudung kau tu. Serabai betul” gesa Salina sambil menarik tanganku agar mengikuti langkahnya kembali ke meja solek.

Tiba – tiba kedengaran jeritan yang nyaring di luar. Jeritan seorang perempuan yang memanggil – manggil namaku. Suasana agak kecoh menyebabkan ahli keluarga yang berada di dalam bilik termasuk Kak Zah bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku. Aku dihimpit rasa takut dan gementar. Aku dapat menjangkakan sesuatu buruk bakal terjadi.

“Apa dah jadi ni Sal?”.

“Entahlah Wiya. Tapi lain macam lah kat luar tu. Kau nak keluar ke?”.

“Aku rasa lebih baik aku pergi tengok apa yang berlaku. Kau temankan aku ya” pintaku mengharap sokongan dari sahabatku itu. Salina sekadar mengangguk.

Sebaik kakiku melangkah keluar dari bilik, semua mata tertumpu ke arahku. Keadaan agak riuh dan tegang kerana suara perempuan yang menjerit itu tidak henti – henti menghamburkan kemarahannya. Aku yang masih terpinga tidak memahami apa yang telah berlaku saat ini. Kelihatan Ikram yang hanya memakai baju T-biru berkolar berdiri santai disamping gadis itu sambil berpegangan tangan.

Apa dah jadi ni?...desis hatiku sendiri.

Keluarga dato dan datin turut berada di ruang tamu rumah. Wajah mereka yang masam mencuka tak ubah seperti tertelan asam kecut. Aku terus berpaling merenung wajah Ikram pula yang sudah merah padam. Dia tidak memberikan sebarang reaksi sebaliknya gadis disebelah Ikram lebih menyinga dan matanya mengerling tajam ke arahku.

Gadis itu pantas mendekatiku dan tidak semena - mena pipi kananku terasa perit dan membahang. Darah panas terus menyerbu ke mukaku dan aku merasai keperitan yang kedua kalinya disebelah pipi kiriku pula. Kepalaku terasa berpinar dan hampir terjatuh ditampar  kuat oleh gadis itu.

Aku duduk terjelepok di atas lantai ruang tamu. Gadis itu cuba menyerang aku lagi. Tetapi kali ini, Salina pantas menghalang. Abah dan emak turut membantu.

Ikram pula terus memeluk belakang gadis itu dan cuba menenangkan kegilaannya yang bagaikan dirasuk hantu.

“Lepaskan I…lepaskan I…I masih belum puas…belum puas tahu tak” jerit gadis itu meraung – raung.

“Ina, mengucap…sabar” pujuk Ikram yang masih belum putus asa. Sejak dari dalam kereta lagi, jenuh Ikram menjelaskan keadaannya yang sebenar namun Zurina lansung tidak mempercayai kata – kata lelaki itu. Zurina berkeras untuk menemui Adawiya, Ikram tiada pilihan selain menurut walaupun dia tahu tembelangnya telah pecah dan dia tidak mampu berbuat apa – apa lagi untuk menenangkan amukan Zurina.

“You diam Am. You tak ada hak nak cakap apa – apa sekarang ni. I nak ajar perempuan jalang ni cukup - cukup. Denan abang I, dia tak dapat nak goda, you pulak yang dirampasnya. Memang tak guna…dasar perempuan sundal…pelacur” maki Zurina lagi tanpa memikir saudara – maraku dan beberapa orang yang disekeliling yang turut sama mendengar cemuhan itu.

Jiwaku bagaikan disentap mendengarkan penghinaan itu. Malunya aku bukan kepalang. Aku tak berani mengangkat muka lagi melihat mereka yang mula memandangku dan berdesis sendiri. Air hangat ditubir mata, ku tahan – tahan namun seksanya mengekang, akhirnya gugur laju membasahi pipi yang masih merah berbekas. Perit hatiku dengan tohmahan itu.

“Ikram, apa semuanya ini. Siapa perempuan ni?” soal abah curiga. Ternyata abah terlebih dahulu menanyakan soalan yang sama yang aku juga ingin tahu jawapannya.

Jelas Ikram lebih rela menunduk diam. Mulutnya terkunci dan lidahnya kelu untuk berkata – kata. Aku tahu dia tidak mampu menjelaskan apa – apa lagi saat ini. Sikap berdiam diri Ikram merentap segala kepercayaanku. Dia sekadar menghalakan pandangannya ke bawah saat bertembung mata denganku. Di mana keberaniannya selama ini? Di mana pembelaannya tika aku yang dianggapnya orang yang paling disayanginya?

“Annuar….”

“Bang…biar Nab yang bagi tahu” pintas Datin Zainab sebelum suaminya sempat berkata apa - apa.

“Macam ni lah….Nuar….Misah. Biar aku berterus – terang aje. Perempuan yang kau tunding tu anak gadis aku, Zurina dan Ikram tu pulak tunang dia. Mereka bakal berkahwin hujung bulan depan. Tapi yang aku tak sangka, anak kau telah merampasnya, Misah. Perempuan jenis apa anak kau ni Misah …Nuar. Sanggup goda tunang orang sampai paksa dia kahwin. Kenapa anak kamu jadi perempuan jahat macam tu. Dulu, aku puji betul tingkahnya, sopan – santun, berbudi bahasa…tapi dalam diam dia berperangai buruk rupanya. Dia berbaik – baik dengan aku cuma nak  perangkap lelaki – lelaki kaya kan. Patutlah anak bujang aku tolak nak kahwin dengan anak kau dulu rupanya dia dah tahu memang anak kau tu perempuan jalang. Aku kecewa tau Misah… anak kau buat kami sekeluarga macam ni” rasa geram terluah jua dari bibir Datin Zainab yang terbuku dari tadi.

“Astaghfirullah …Nab. Apa yang Nab cakapkan ni? Sampai hati Nab tuduh anak Misah macam tu…bila masa pulak Adawiya rampas tunang orang. Kami langsung tak tahu Nab” sebak emak meluahkan kata - kata. Abah merengus perlahan melepaskan rasa hampa.

Aku yang mendengar tergamam seribu bahasa. Kejam sungguh tuduhan Datin Zainab terhadap aku yang selama ini melayani dan menganggap aku seperti anaknya sendiri. Kenapa saat ini kasih sayang itu musnah sama sekali? Ke mana hilangnya nilai kasih – sayang yang kudambakan selama berhubungan dengan keluarga mereka hingga saat ini aku dituduh  perempuan jahat. Airmataku terus merembas keluar bagaikan hujan tanpa henti. Aku tak sanggup menghadapi kebencian seperti itu.

“Ini bukan tuduhan mak cik tapi kenyataan. Kenyataan yang harus mak cik terima  yang anak mak cik ni memang perempuan tak bermaruah. Dah tak ada lelaki lain ke dia nak goda. Tak cukup ke lelaki bujang kat luar sana? Mengapa hak orang jugak yang dia nak rampas? Dasar perempuan murahan” sampuk Zurina dengan lantang menghamburkan sumpah seranahnya.

“Sudahlah tu Ina. You kan dah dapat I balik, kenapa you nak marah – marah lagi ni” pujuk Ikram bagi meredakan hati panas Zurina.  

“You diam Am. You pun sama gatal, kalau you tak melayan betina ni….mesti perkara ni tak terjadi”

“Apa you cakap ni…cuba bertenang sikit”.

“I dah tak boleh nak tenang lagi. Cukup you tipu I selama ini. Mati – mati I ingat you pindah ke JB sebab you nak lari dari abang I …dari family I...rupanya you nak kahwin. Memang you dah rancang dari mula lagi kan, I tahu Am…you memang lemah di goda dengan perempuan ni” hambur Zurina lagi melepaskan geram.

“Maafkan saya Cik Zurina…saya rasa tak adil cik salahkan Adawiya saja. Bertepuk sebelah tangan takkan menjadi cik. En.Ikram tak pernah bagi tahu pun dia dah bertunang. Adawiya tak tahu , dulu kami sepejabat pun tak pernah tahu cik” celah Salina bagi menjernihkan situasi sebenar sekaligus membela nasib sahabat baiknya itu dari terus – menerus dihentam dengan fitnah.

“Huh! Kau tak berhak nak masuk campur Salina. Ini bukan urusan kau, so please…. jangan jadi penyibuk” tempelak Zurina.

“Tapi Cik Zurina….”

“Shut –up!!!”

Salina terkedu di tengking Zurina yang semakin berang. Dia terpaksa mendiamkan diri untuk turut masuk campur walaupun hakikatnya, Salina amat geram dengan sikap bongkak adik majikannya itu.

Salina merenung wajahku yang sayu dan aku dapat merasai kesungguhannya untuk membantuku namun apakan daya sememangnya dia tiada kaitan dengan aku tetapi dialah teman yang terbaik buatku saat ini. Salina memeluk bahuku dan cuba menyabarkan aku yang masih berlinangan airmata.

“Sampai hati kau buat aku macam ni Ikram. Kau malukan aku sekeluarga. Kau memang kejam…tak berhati perut” akhirnya aku bersuara dengan nada geram yang ditahan – tahan. Hilang rasa hormatku padanya yang selama ini aku sanjung budi pekertinya. Rupanya dialah lelaki berhidung belang dan bijak berpura – pura. Rasa benciku mula meluap – luap.

“Ma…maafkan aku Wiya. Aa..aku….” Ikram tidak sempat menghabiskan ayatnya, Zurina yang bengis sudah memintas.

“Hei!...kenapa you nak minta maaf pulak Am. Bukannya salah you.You jugak kata perempuan ni yang goda you …yang pukau you. You jangan nak ngada – ngada minta maaf pulak. Biarkan dia …biar dia malu dengan perbuatannya sendiri. Biar semua orang tahu siapa dirinya yang sebenar tu perempuan GRO”.

Bagaikan direntap kuat tangkai hatiku. Degupan  jantungku terhenti  serta – merta. Perempuan GRO?!...

Wajah Ikram pula ku renung dengan rasa terkilan. Aku difitnah menggodanya dengan ilmu pukau. Sungguh tuduhan Ikram itu amat berbisa. Hatiku benar – benar terluka dan hancur.

Raut wajah emak dan abah berubah sekaligus. Salina dan yang ada di situ turut memandangku dengan seribu perasaan terbungkam.

“Awak jangan fitnah saya” tegasku menyangkal tuduhan wanita yang menuduhku itu. Wajah datin dan dato seolah jijik memandangku saat ini. Ikram tidak lagi ku pandang sebagai lelaki sejati yang boleh diharap. Aku benar – benar kecewa dengan sikap hipokritnya itu. Aku benci padanya.

“Memang kau GRO. Kau jangan ingat aku tak tahu. Teman kuliah kau Marini….masih ingat lagi. Untuk pengetahunaan kau, dia adik tiri Ikram. Semasa di universiti, dia terpaksa menjadi GRO untuk menampung perbelanjaan kuliahnya, so kau pun terlibat sama bukan. Lebih baik kau mengaku aje depan mak bapak kau. Kau ni memang anak yang tak bermoral dan memalukan keluarga, patutnya dihalau aje dari rumah” berangnya wanita itu menghamburkan fitnahnya tanpa usul periksa. Yang pastinya emak meraung tatkala aku dituduh GRO. Abah tidak putus – putus beristighfar sambil mengurut dada.

Aku benar tak menyangka Marini adalah adik tiri Ikram. Patutlah selama ini Ikram sering mengelak dari aku bertemu dengan adiknya itu. Dan Marini, kejam benar tuduhan kau lemparkan kepadaku. Kenapa kau fitnah aku Marini? Mengapa kau tuduh aku GRO seperti kau juga?...argh! rasa marah membuak – buak didadaku. Aku tak mampu meluahkannya cuma  linangan airmata yang bercucuran sebagai pengganti.

“Sampai hati Wiya hancurkan hati emak dan abah. Tak cukup ke apa yang abah bagi selama ini sehingga Wiya terpaksa jadi pelacur. Kurang ke kasih sayang yang abah dan emak curahkan. Di mana didikan agama yang Wiya pelajari selama ini hinggakan lupa dosa dan pahala. Mengapa Wiya jadi begini nak” ratap abah hiba.

Aku benar – benar sebak melihat airmata abah menitis. Belum pernah sekalipun aku melihat titisan airmata itu jatuh ke pipi wajah tua abah. Tetapi hari ini, aku telah menjadi insan yang pertama membuatkan abah menangis atas tohmahan yang dilemparkan.

Wajah emak dan abah ku pandang sayu, memohon pengertian dan sokongan dari mereka agar mempercayai aku tika ini.

“Demi Allah…bah. Wiya berani bersumpah, Wiya tak pernah buat perkara – perkara hina macam tu. Demi Allah…bah” ucapku bersungguh untuk menyakinkan emak dan abah yang sudah termakan fitnah itu.

“Hei! bukan berani kau main sumpah ya. Jadi kau ingat aku sengaja buat cerita pasal kau lah. Memang kau GRO. Aku ada bukti. Kalau kau berani sangat… sumpah atas nama Tuhan depan mak bapak kau yang kau tu masih suci lagi dan kau memang tak pernah kenal Marini tu. Bersumpahlah!” herdik Zurina tanpa menghirau segan silunya dengan hadirin yang mula riuh. Barangkali gempar dengan ugutan Zurina itu.

Aku terpempan kaku.

Tidak semena – mena tamparan dato hinggap ke pipi Zurina. Dato Zaid mula naik angin dengan sikap anaknya yang tidak tahu adab itu dan kata – katanya yang melampaui batas. Langsung tidak menghormati maruah sahabat baiknya yang saat ini dirundung duka.

“Papa!...” jerit Zurina sambil mengusap perlahan pipinya yang sakit. Dia  bagaikan tidak percaya dengan tindakan papanya itu. 

“Papa tidak pernah ajar Ina biadap dengan orang  tua. Cuba hormat pada pak cik Nuar dan mak cik Misah sungguhpun Ina marah pada Adawiya. Malu papa dengan perangai Ina, tak ubah macam perempuan tak moral lagaknya” tegur Dato Zaid yang hampa.

“Bang, kenapa nak marahkan Ina tu, apa yang dia cakap semata - mata nak buktikan yang dia tak fitnah Adawiya. Ada betul juga cara Ina tu pada saya. Adawiya perlu bersumpah untuk bersihkan nama baiknya, itupun kalau dia tak mengaku perbuatannya tu. Kita semua yang ada kat sini nak tahu jugak, sejauh mana dia berani mempermainkan tuhan. Kalau tak buat dia tak perlu nak takut” sampuk Datin Zainab dengan mengetap bibir.

Semua mata membulat merenungku. Pandangan masing – masing tersimpul seribu pertanyaan dan andaian. Abah dan emak pastinya membendung kekecewaan yang tak terhingga. Aku benar – benar kesal dan rasa berdosa pada kedua orang tuaku. Perlukah aku bersumpah aku bukan GRO…tapi sucikah aku. Cerita apakah yang harus aku sampaikan kepada mereka? Aku dinodai? Oleh siapa? Zaqrie?...argh! pastinya tidak akan ada kesudahannya dan lebih malang aku akan dituduh memfitnah Zaqrie dengan tuduhan yang lebih dahsyat lagi. Siapakah yang akan mempercayai aku kelak. Ya tuhan…apa yang harus aku lakukan?

Lama aku berdiam. Aku tak tahu apa yang harus aku ucapkan. Mereka masih menanti pengakuanku dengan penuh harapan. Namun, tak terdaya rasanya untuk aku meluahkannya. Bukan kerana aku berdosa tetapi aku tak sanggup melihat maruah emak dan abah lebih tercalar.

Kebisuanku menyakitkan hati emak. Perlahan – lahan airmata emak mengalir lesu dipipi . Emak terduduk lemah dan hiba. Pastinya emak sudah menganggap aku bersalah. Aku mendakap emak dan mengharapkan pengampunannya.

“Maafkan Wiya mak…maafkan Wiya”. Sedu-sedan aku menangis tanpa menghiraukan yang lain. Hatiku remuk melihat emak menitiskan airmata. Wajah – wajah mereka yang berpeluk tubuh pula sekadar mempamerkan riak meluat mereka dan mencemik muka. 

Beberapa orang masjid termasuk Pak Imam mula bangun beransur - ansur meninggalkan majlis. Suasana agak hening menyelubungi kedukaan petang ini. Aku tahu cerita aibku tidak akan terhenti setakat ini, tidak akan reda dan tidak akan pernah surut. Kuatkah aku untuk mengharunginya. Ya tuhan…berilah aku kekuatan.

Bahu abah ditepuk lembut oleh Pak Imam. Abah berpaling dengan wajah yang sugul dan seolah – olah mengerti isyarat tubuh itu lalu mengangguk lesu.

“Bersabarlah Nuar. Istighfar banyak – banyak. Moga Allah melindungi kamu sekeluarga. Mungkin kejadian hari ini ada hikmahnya Nuar” nasihat Pak Imam perlahan. Sayu juga hatinya dengan apa yang terjadi sebentar tadi. Dalam hati, Pak Imam memanjatkan doanya agar Allah s.w.t sentiasa memberikan semangat kepada kenalannya itu.

“Aku berangkat dulu ya Nuar, memandangkan majlis kamu ni sudah terbatal”.

“Maafkan kita Pak Imam. Kita telah banyak susahkan Pak Imam”.

“Tak mengapa Nuar. Aku tak rasa susah pun” tutur Pak Imam tulus.

Usai bersalam – salaman, Pak Imam dan beberapa orang masjid mula beredar . Tiba – tiba langkah mereka dihalang seseorang.

“Tunggu dulu Pak Imam”. Pak Imam terkejut namun tidak pula berganjak dari tempatnya. Masing – masing sudah memandang sesama mereka dengan tanda tanya. Barangkali masih tidak memahami tujuan kedatangan lelaki yang bersuara garau itu.

“Saya akan menikahi wanita ini Pak Imam”. Jari ditunding ke arahku yang terkejut.

“Zaqrie!!!....” jerit Datin Zainab tergamam lalu rebah tidak sedarkan diri.

“Mama…” jerit Zurina dan Zuliana serentak. Mereka segera memangku Datin Zainab yang telah jatuh pengsan. Dato Zaid mendekati Zaqrie lalu menepuk perlahan bahu anak lelakinya sebagai tanda sokongannya. Zaqrie tersenyum nipis. Restu seorang ayah  menyuntik semangat lantas dia  mendakap papanya dengan rasa lapang.

*********************

“Aku terima nikah Nur Adawiya Binti Annuar dengan mas kahwinnya 22.50 tunai”.

“Sah!”

Sunday, July 17, 2011

Diulit DOSA CINTA...33

BAB 33


Inai dijari ditokok – tambah bagi menaikkan lagi seri warna merah. Hampir kematu dudukku kerana letih menunggu seharian sejak dari malam tadi tak sudah – sudah inai dijariku ditepek dan dilukis. Aku tidak dibenarkan bergerak langsung walaupun seinci oleh kak long dan makcikku. Apa saja yang aku inginkan, ada saja anak buah yang datang melayani setiap karenahku. Yang sediakan makan - minum dan ada juga yang setia menjadi tukang garu. Semuanya atas bantuan mereka yang tersangat rajin melayani aku. Bagi mereka, aku ibarat puteri raja yang tidak boleh melakukan sebarang kerja tika ini.

Saranan mereka juga agar aku sentiasa memanjakan diri dengan wangi – wangian, herba – herba, pelbagai mandian dan lain – lainnya sebagai tip persediaan awal menghadapi alam baru di dalam rumahtangga. Banyak betul petua mereka sampaikan tak teringat dibenakku. Ah! rimas sungguh resam sebegini…perlukah semuanya diikuti.

“Sudah ke belum ni” rayuku minta dibebaskan dari belenggu Kak Long dan mak cikku yang ada disitu. Aku sudah tak sanggup menanggungnya.

“Ish! duduk diam – diam, sikit lagi ni” Kak Long bersuara keras.

“Kamu kan Wiya cuba bersabar sikit. Kita nak bagi dia cantik berseri masa nikah nanti bukannya pucat lesi macam mayat hidup pulak” bebel Kak Long sambil menepek lagi inai di jari kakiku.

“Aduh! lenguhlah…kan dah merah jari tu, nak merah macam mana lagi” aduku minta dikasihani lagi.

“Hai! Wiya. Amboi! bakal pengantin ni…sibuknya” wajah ceria Salina sudah terjengul di muka pintu. Aku terlalu teruja dan seronok melihat kehadiran Salina yang tidak disangka – sangka itu.

“Awalnya kau datang Sal, suka aku. Boleh tolong – tolong aku bersiap nanti” riang aku berbicara tanpa mempedulikan Kak Long dan makcikku yang mula mengetap bibir melihat keagresifan gerakku. Mana tidaknya habis hancur inai yang dilekatkan dijari – jemariku.

“Malulah aku kalau datang lambat. Kata ‘member’ takkan datang makan aje. Kau jangan risau, aku akan tolong kau memerangkap jadi pengapit kau yang paling ‘vogue’ di seluruh JB” seloroh Salina mengundang tawa kakak long dan mak cikku yang berada bilikku.

Buat lawak pulak minah ni….

“Pukul berapa kau nikah Wiya” soal Salina lalu mengambil tempat disebelahku. Tangannya turut sama membetulkan inai dijariku.

“Lepas Zohor, dalam pukul 2”.

“Macam mana berdebar tak, nak jadi isteri orang nanti”

“Emm…berdebar giler!”. Kami ketawa serentak.

“Baru padan muka, gatal sangat nak kahwin cepat!”.

Terkedu aku sungguhpun kata – kata Salina itu kedengaran bergurau.

“Ish! jodohlah Sal. Bolehkah aku menidakkannya kalau itu sudah tertulis bahawa aku akan bernikah pada hari ini juga. Aku kena terima walau siapa pun yang ditentukan untuk aku olehNYA sekalipun bukan Ikram” terangku atas apa yang terbuku di dalam hatiku selama ini. Bukan aku teringin sangat berkahwin cepat cuma aku tak mahu menjadi buah mulut orang lagi. Kesian pada emak dan abah. Cerita – cerita tidak sedap didengar tentang aku tidak pernah surut meniti di bibir orang membuatkan orang tuaku terlalu kecewa. Jadi lebih baik aku berkahwin sekaligus memadamkan tohmahan orang terhadap kami sekeluarga.

“Ya..ya…aku faham. Aku minta maaf Wiya. Dahlah, kita jangan cerita benda – benda macam ini lagi. Hari ni kan hari bahagia kau so, aku nak kau ceria dan gembira” Salina melonjak riang bagaikan kanak – kanak dapat gula lolipop.

Kak long dan makcik berangkat pergi meninggalkan kami setelah kerja – kerja berinai selesai. Sementara menunggu ketibaan mak andam, aku dan Salina menghabiskan masa dengan berbual – bual. Banyak cerita yang kami bualkan tetapi cerita lelaki itu lebih menarik minatku walaupun aku cuba memadam kisahnya dari kotak mindaku namun selagi itu hatiku terus bergetar tatkala mendengar namanya disebut. Ah! lelaki itu lagi…

“Dia tahu ke kau nikah hari ini” serkap Salina dengan sengaja menduga perasaan aku.

“Siapa?”

“Eeii…pura – pura pulak”.

“Iyalah…siapa? Aku mana tahu siapa yang kau maksudkan?”

“Bos akulah…Zaqrie”.

“Emm..entah!.Tak tahu agaknya. Aku tak jemput pun” ujarku bersahaja. Tiba – tiba kotak fikiran mengimbau kembali janjiku pada Ikram untuk tidak menjemput Zaqrie mahupun keluarganya. Ikram bimbang menjemput mereka bakal membuatkan keadaan lebih rumit tambah lagi dendam Zaqrie terhadap Ikram masih belum berbalas. Aku turut akui pandangan Ikram itu. Aku akur dengan pendapatnya yang mahukan sebuah majlis yang aman dan sedikit privasi.

“Emm..kesian bos aku. Dato’ dengan datin pun kau tak jemput jugak ke. Mereka kan rakan baik keluarga kau” tanya Salina dengan rasa kehairanan.

“Mungkin tak rasanya, sebab kita orang dah janji dengan Ikram” jawabku sedikit kesal.

“Janji?!”. Salina mengerut kening.

“Ya…janji. Janji untuk mengadakan majlis nikah secara tertutup tanpa menjemput orang ramai. Hanya keluarga terdekat saja”.

“Patutlah masa aku datang tadi tak nampak khemah. Pelamin pun tak ada. Pelik jugak aku, ingatkan salah rumah ke. Kenapa Ikram nak buat majlis macam ni?” soal Salina lagi bingung.

“Privasi. Itu yang dia beritahu pada aku. Ikram mahukan privasi Sal. Kau tahu ajelah sekarang ni hubungan aku dengan Ikram banyak sangat gangguan. Jadi, terpaksalah dia buat majlis nikah ni untuk kalangan saudara rapat aje dulu. Tapi Ikram janji akan mengadakan majlis resepsi lebih meriah selepas semuanya dah okay” terangku panjang lebar. Salina mengangguk faham akan situasi yang aku hadapi. Dia memelukku memberikan sokongannya walau apa jua keputusan yang aku ambil.

“Assalammualaikum…” sapa Kak Zah sebaik melangkah masuk ke dalam bilik.

“Wa’alaikumussalam…wbt” jawab kami serentak. Salina bingkas bangun membantu Kak Zah yang membawa banyak barang. Beg mekap berbentuk kotak diletakkannya di atas meja solek. Baju nikah pula disangkutkan di almari. Pergerakanku masih terbatas kerana keadaan inai yang belum ditanggalkan.

Kak Zah, juru andam yang diupah telah bersedia mengeluarkan peralatan solekan. Pelbagai jenis berus berlainan saiz, span, krim pelembab, bedak padat, pembayang mata yang berwarna – warni, lipstik berjenama dan maskara disusun teratur di atas meja.

“Sudah pukul 10.30, bolehlah kamu bersiap Wiya …bersihkan inai tu, mandi dan tukar baju. Kak Zah nak mulakan ‘make-up’ ni, kang tak sempat pulak” tegur Kak Zah sambil mengarahkan yang lain – lain yang berada di dalam bilikku supaya keluar.

“Mak Su, Hafiz pun kena keluar sekali ke?” adu si kecil Hafiz.

“Ya sayang. Hafiz kan lelaki…orang lelaki tak boleh tengok orang perempuan bersiap tau, tak baik” nasihatku kepada anak buah kesayangan.

“Tapi Hafiz nak tengok Mak Su jadi cantik, takkan tak boleh” renggeknya lagi.

“Tak boleh sayang…Hafiz pergi main dulu kat luar, nanti bila Mak Su dah siap… dah cantik, Mak su panggil Hafiz ya. Bolehlah Hafiz tengok Mak Su, lepas tu kita ambil gambar” ujarku memujuk si kecil yang sudah mengangguk mengerti permintaanku. Dia menjerit riang sambil berlari keluar dari bilikku.

“Yeh! Yeh! Mak Su nak amik gambar…yeh! Yeh! Mak Su nak amik gambar sama Hafiz”.

Aku tersengih melihat keletah anak buahku itu. Sejurus semuanya beredar, Salina pantas membantu mengemas bilikku yang sedikit bersepah. Senang hatiku melihatnya yang ringan tulang. Aku bingkas bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Usai mandi, aku duduk mengadap meja solek menunggu Kak Zah untuk menata rias wajahku. Bermula sapuan rata bedak asas ke mukaku, jemari Kak Zah pantas melukis pula kening, mengadun pembayang mata dengan warna ‘smokey eye’, menggores celak hitam dan memasang bulu mata agar lebih dramatik dan sensasi. Gerak tangan Kak Zah begitu mahir melukis, mengadun warna serasi dengan kulitku. Akhir sekali, gincu merah jambu samar dioles tipis menambah keserian wajahku yang kini kelihatan sama sekali berbeza. Cermin solek ditatap lama kerana aku seperti tidak mempercayai wajah yang ku renung itu adalah aku.

Salina turut tersenyum dan tidak henti – henti memuji. Wajahku jarang sekali disolek tebal sebegitu malah belum pernah aku rasa. Kebiasaannya solekan tipis menjadi alas pada wajahku.

“Wow! Cantiknya kau Wiya!” puji Salina berkali – kali. Aku tersenyum mekar.

“Muka kau betul – betul berubah Wiya”.

“Terima kasih, Sal”.

“Kak Zah, esok – esok kalau saya nikah, saya nak solek macam ni tau. Saya betul – betul nak tempah Kak Zah nanti” beria – ria Salina berkata sambil menelek lagi solekan diwajahku.

“Kalau macam tu...kahwinlah cepat. Boleh Kak Zah ‘make-up’ kan kamu lebih hebat dari sekarang ni” balas Kak Zah diiringi tawa kecilku.

“Betul cakap Kak Zah tu. Kau kena kahwin cepat Sal” ajukku lagi.

“Amboi! suka dapat kenakan aku kan” jawab Salina dengan bibir menjuih.

“Dah cepat – cepat, Tok Kadi dah sampai tu” kalut Kak Zah memberitahu pantas menghulurkan baju nikah kepadaku. Baju nikah yang ditempah khas untukku begitu indah dan mewah buatannya. Labuci dan manik mutiara sarat melingkari hujung lengan dan baju. Aku menyarungnya dengan berhati – hati.

Selendang yang sedondon disemat kemas dikepala. Kak Zah membetulkan kembali solekan dan menambah sedikit aksesori pada tudungku. Ahli keluarga mula memenuhi ruangan bilik dan pandangan mereka tertumpu ke arahku. Hanya segaris senyuman yang mampu aku lemparkan kepada mereka sekaligus menyembunyikan rasa seganku. Aku sekadar duduk menunggu upacara akad yang akan dilansungkan sebaik pihak pengantin lelaki tiba.

Rasa debar mula berdetik. Setiap saat pada jam dinding dikerling bagi menghitung waktu hidupku yang bakal berubah. Bagaikan tidak percaya apa yang akan aku lalui sekarang ini. Aku bakal menjadi isteri orang, punya keluarga dan akan memiliki zuriat sendiri. Mampukah aku lakukannya sendiri? Pastikah aku dengan pilihan ini? Dapatkah aku membahagiakan Ikram? Bagaimana dengan perasaan aku sendiri? Ah! mengapa begitu banyak pulak persoalan bersarang di kepalaku di saat – saat genting ini.

“Wiya senyum….1..2..3” lensa kamera berkilau dipetik Salina. Aku langsung tidak bersedia. Lamunan tadi benar – benar menganggu emosiku dikala ini.

“Hisy! Masamnya pengantin. Sekali lagilah”ngomel Salina selepas melihat semula gambar yang diambilnya. Dia bersedia untuk memetik lagi. Kali ini aku mengukir senyuman mekar. Kak Long, makcikkku dan anak buah turut berada disisi untuk bergambar. Tidak putus – putus pancaran lensa berkelip. Satu persatu gambar diambil oleh jurugambar tak bertauliah si Salina, yang amat seronok melayani karenah ahli keluargaku. Wajar aku berterima kasih kepadanya atas bantuan dan khidmatnya yang tidak terhitung itu.

Dalam keseronokan dan kegembiraan, hampir tidak disedari masa berlalu dengan pantas. Perasaanku mula merasai sesuatu. Sesuatu yang tidak enak dan resah dalam penantian.

Tuesday, June 14, 2011

Diulit DOSA CINTA...32

BAB 32

Zurina memerhatikan gelagat Datin Zainab dan Dato Zaid yang agak kalut pagi ini. Zuliana, si bongsu juga turut kelam kabut seperti kedua orang tuanya. Ke mana mereka semua nak pergi ni …detik hati kecil Zurina.

“Papa dan mama bersiap cantik – cantik nak ke mana pagi – pagi buta ni” soal Zurina sambil asyik mengunyah asam ditangan. Datin Zainab tidak segera menjawab sebaliknya memandang anaknya dengan pandangan yang pelik.

“Yang kamu ni pagi – pagi buta makan asam apa kena” jawab Datin Zainab lalu mengambil tempat di meja makan. Dato Zaid turut sama melabuhkan duduknya disebelah isterinya. Mak Som yang telah sedia melayani tuannya menuangkan kopi panas ke dalam cawan. Menyenduk sedikit mee goreng untuk santapan dato’ pagi itu.

“Ala mama, makan asam pun tak boleh. Tekak Ina rasa pahit sikit” balasnya dengan muncung sedepa lalu meletak kembali bungkusan asam ke atas meja.

“Anak kawan nikah hari ni” jawab Datin Zainab tanpa menunggu ditanya.

“Anak kawan mama yang mana satu ?” ujar Zurina ingin tahu.

“Anak Mak Cik Misah dengan Pak Cik Nuar kat Johor tu”. Zurina nyaris tersedak dek biji asam yang berada dalam mulutnya kerana terkejut.

“Huk!...siapa ma? Anak Mak Cik Misah? yang namanya Aaa… err..Ada…”

“Adawiya”.

“Hah! perempuan tu. Perempuan tak malu tu….kahwin jugak dia, siapa lah lelaki malang tu ya ma ” cemuh Zurina dalam tawa kecil.

“Hisy! Ina… tak baik cakap macam tu” marah Datin Zainab.

“Ha’ahlah…akak ni, tak baik cakap kakak Adawiya macam tu. Kakak Adawiya tu baik, cantik, lemah lembut. Tak sombong pun” sampuk Zuliana cuba menafikan tuduhan kakaknya itu.

“Zu mana kenal dia. Zu di kampus, belajar. Masa kejadian dia kena tangkap khalwat dengan abang dulu tu pun Zu tak ada. So, macam mana Zu kata dia baik , tak sombong.Kalau Zu nak tahu dialah yang perangkap abang masa tu tapi nasib baik abang bijak tak jadi kahwin dengan dia kalau tak habis harta kita kan ma” cemuh Zurina lagi beria – ria.

“Ina…Ina…tak baik tuduh Adawiya macam tu”. Datin Zainab mengeleng kepala dengan tingkah Zurina yang terlalu celupar itu. Bimbang dia dengan keceluparan Zurina yang semakin menjadi – jadi.

Dato Zaid sudah mengerling tajam. Renungannya menembusi mata Zurina yang galak. Zurina mulai mengendurkan pandangannya.

“Papa tak suka Ina hina orang macam tu. Satu sifat yang keji di sisi agama sekiranya kita mengutuk atau menghina orang macam tu. Kita tak tahu kebenarannya jadi jangan sesekali buat cerita yang tak betul takut jadi fitnah nanti. Ingat Ina, jangan nak cakap ikut sedap mulut aje!” bidas Dato Zaid dengan tegas. Zurina terdiam, terpukul dengan teguran papanya itu.

Suasana hening seketika di meja makan. Masing – masing tidak berani bersuara lagi. Jelingan Dato Zaid sudah cukup membuatkan mereka takut untuk mengangkat muka sekalipun.

“Morning ma…pa”. Zaqrie muncul menghampiri keluarganya yang sedang bersarapan sejurus pulang dari berjoging. Dia mengerling sekilas ke wajah mama dan adik – adiknya yang agak kelat. Pastinya ada isu hangat yang dibincangkan tadi.

Sebelum melabuhkan duduknya, seperti kebiasaan Zaqrie mencium kedua pipi Datin Zainab penuh kasih dari anak kepada ibunda tercinta. Datin Zainab tersenyum puas.

“Abang…mama aje? Zu nak jugak” Zuliana pura – pura merajuk minta dikasihi pula.

“Okay…okay…untuk adik abang yang paling disayangi..muaahh!” satu ciuman mendarat di dahi Zuliana simbolik kasihnya abang kepada seorang adik. Sememangnya adik yang bongsu ini sangat manja dan paling rapat dengan Zaqrie. Zuliana tersengih gembira, Zurina pula meluat melihatnya. Dia menjuihkan bibir seakan mengejek kemesraan antara dua beradik itu.

“Lama Zu cuti ” soal Zaqrie sambil menuang kopi ke dalam cawan.

“Cuti semester 5 minggu aje bang. Zu cuti ni pun sebab nak tunggu sampai Kak Ina kahwin bulan depan” jawab Zuliana sambil mata mencuri pandang kakaknya yang tersenyum melebar apabila majlis perkahwinannya disebut - sebut. Suka betul dia.

“Macam itulah adik kakak” Zurina tersengih megah.

“Hee…iya lah tu” sengih Zuliana meleret.

“Abang…”

“Emm….”

“Abang tak nak ikut Zu ke JB, kita tengok kak Adawiya kahwin” ajak si adik dengan rasa teruja.

“Abang ada hal sikitlah hari ni Zu” jawab Zaqrie mendatar.

“Ala…bang, jomlah!” tukas adiknya lagi beria - ria.

“Zu kalau nak pergi tak payah ajak abang ke atau sesiapa…beria – ria sangat, bukannya orang penting pun, selebriti ke, anak puteri raja ke. Orang kampung aje Zu….buang masa” sampuk Zurina yang masih tidak berpuas hati dengan ahli keluarganya yang bersungguh untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

“Eeii…kak Ina ni memang teruklah. Kak Ina tu bukan orang kampung jugak ke?. Papa dan mama pun asal Johor, so orang kampung jugaklah kan” ajuk Zuliana yang semakin menyampah dengan perangai kakaknya itu. Zaqrie hanya tersengih sumbing. Bagus tindakan adik bongsunya itu, sekali sekala Zurina patut diajar. Kelancangan mulutnya memang sukar dikawal.

Dato Zaid berdehem beberapa kali seolah – olah memberi petanda awal bahawa perdebatan mereka wajar dileraikan segera.

Mereka yang seakan memahami amaran papanya terdiam sendiri. Cuma Zurina yang masih geram dengan sindiran adiknya itu. Dia mengerling tajam. Zuliana memuncungkan bibirnya mengajuk renungan kakaknya itu. Zaqrie yang perasan mengisyaratkan Zuliana supaya tidak berbuat demikian. Adik bongsunya itu akur lalu menyambung semula sarapannya. Zurina bertambah bengang lebih – lebih lagi adik bongsunya itu mendapat sokongan dari Zaqrie.

Usai bersarapan, Dato’ Zaid bingkas bangun dan dituruti Datin Zainab. Pak Mat pemandu peribadi dato’ telah bersiap sedia menunggu di kereta. Zuliana pula terkocoh – kocoh menghabiskan sarapannya apabila melihat kedua orang tuanya sudah masuk ke dalam perut kereta.

“Tunggu... Zu nak ambil beg tangan kat bilik kejap” jerit Zuliana dengan kuat. Bimbang papa dan mama akan meninggalkannya.

Zaqrie tergelak melihat telatah Zuliana yang kalut berlari mengejarkan kedua orang tuanya yang sedang menunggu di kereta.

“Itulah kamu…banyak bercakap tu sebab lambat” tegur Dato Zaid sebaik Zuliana masuk ke dalam kereta. Dia hanya tersengih manja.

“Papa ni…mana ada Zu banyak cakap. Kak Ina tu…asyik nak kutuk aje. Geram Zu… so I’m tried to tell her the truth only pa..” Zuliana membela dirinya.

“Your always give me excuses…but papa tak suka Zu layan sangat kakak kamu tu”.

“Okay pa…Zu janji tak akan buat lagi” ucap Zuliana sambil memeluk tubuh papanya. Dato Zaid rasa senang dan terhibur melihat kemanjaan anak bongsunya yang pandai mengambil hati.

Zaqrie yang berdiri di muka pintu turut gembira melihat gelagat dua beranak itu berkomunikasi. Sememangnya Zuliana pandai memujuk papanya yang tegas itu.

Enjin kereta dihidupkan. Pak Mat telah bersedia di posisi pemandu.

“Pukul berapa nikahnya bang” tanya Datin Zainab kepada suaminya.

“Abang tak pasti Nab, rasanya dalam tengahari. Pat Mat, pukul berapa majlis tu mula”. Dato Zaid menanyakan kepada pemandunya pula kerana hanya Pak Mat yang akan mengingati segala urusan peribadi dan temujanjinya. Lagipun Pak Mat ada bersama ketika sahabatnya Annuar memberitahu tempoh hari menerusi telefon bimbit. Secara tidak lansung, Pak Mat selaku pemandu peribadi dato, juga memerangkap PA dato untuk urusan – urusan berkaitan keluarganya. Nasib baik juga Pak Mat mengingatkan kelmarin jika tidak pasti mereka akan dimarahi oleh sahabat baik mereka kerana terlupa.

“Lepas Zohor, dato’. Dalam pukul 2” Pak Mat memberitahu. Dato’ Zaid mengangguk faham.

“Zaq, are you sure you don’t want to joins us” dato menyoal untuk kepastian sekian kalinya sebelum mereka meneruskan perjalanan.

“Yup! Pa…. Kirim salam saya pada Pak Cik Nuar dan Mak Cik Misah ya” ujar Zaqrie dengan anggukkan perlahan.

Zuliana pula mencelah, “Abang…dengan kak Adawiya nak kirim salam sekali tak” usik adiknya membuatkan Zaqrie tersenyum tawar. Papa dan mama berpandangan.

“Hisy!...kamu ni Zu, cubalah serius. Jangan nak bergurau pulak” marah Datin Zainab yang mula pening dengan sikap Zuliana. Gurau tak bertempat budak ni…sebagai ibu, dia tahu perasaan Zaqrie pasti terluka.

“Apa pulak gurau ma. Zu seriuslah ni…apa salahnya kawan – kawan, kan bang”.

“Emm…kirimkan salam abang pada dia dan suaminya. Abang doakan mereka bahagia” ucap Zaqrie dengan rasa sebal.

Hakikatnya, keperitan dihati hanya tuhan yang tahu. Hatinya bagaikan hancur saat berita itu sampai ke pengetahuannya. Namun sebagai lelaki dia harus tabah dan redha jika itu sudah tersurat dari Illahi. Dia pasrah dalam kepahitan.

Tiba – tiba…

“Wait…wait…Ina nak ikut” Zurina berlari anak menuju ke kereta sambil mengendong sebuah beg kecil. Mereka yang ada disitu terkejut. Lebih – lebih lagi Zaqrie.

“Kenapa tiba – tiba pulak ni” soal Zaqrie kehairanan.

“Saja…lagipun dah seminggu Ina tak jumpa Ikram. Abang jangan ingat Ina nak pergi majlis kenduri tu pulak, sorry…tak ‘class’ langsung” balas Zurina mendabik dada lalu terus masuk ke dalam kereta.

“Eeii…sibuk betullah kakak ni. Tadi kata tak nak ikut”

“Zu diam!”.

Zuliana menjeling, menyampah dengan perilaku kakaknya yang cakap tak serupa bikin itu.

“Kenapa ubah fikiran pulak Ina” Datin Zainab pula bersuara.

“Mama, Ina bukannya nak ikut ke majlis kahwin tu, tak inginlah …Ina cuma nak tumpang aje. Sampai JB nanti Ina ‘call’ Ikram suruh dia ambil Ina” jelasnya bersahaja.

“Ina ada bagi tahu Ikram dulu?”.

“Itulah masalahnya, sejak Ikram ditukarkan ke cawangan JB, selalu sangat telefon dia tutup. Geram betul Ina…semua ini papa dan abang punya pasal, sengaja tukarkan dia ke sana” sungut Zurina melepaskan geram.

Dato Zaid merengus. “Papa tidak mungkin tukarkan Ikram ke JB kalau bukan itu yang dia mahu. Tapi dia yang beria – ria minta tukar ke JB bukan papa paksa dia. Lagi satu, abang kamu tidak terlibat langsung dalam hal ini. Dia tak nak campur. Abang kamu professional, soal kerja tidak akan dicampur-aduk dengan soal peribadi. Kes pukul tempoh hari pun, abang kamu serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat. Alih – alih laporan itu ditarik balik. Itupun kamu tak faham lagi, masih nak tuduh papa dan abang kamu yang jahat. Papa dah turutkan semua kehendak Ina dan Ikram, Ina nak macam mana lagi”. Leteran dato yang panjang membuatkan telinga masing – masing nanar mendengarnya.

Zurina tidak mampu berkata – kata apa – apa. Walaupun ada kebenaran namun dihatinya masih tetap tidak berpuas hati dengan kenyataan papanya itu. Baginya, papa dan abang sama saja, suka merancang untuk memisahkan dia dengan Ikram kerana dia tahu Ikram tidak setaraf dengan kedudukan mereka. Zurina lebih rela mempercayai Ikram sepenuh jiwa raganya berbanding ahli keluarganya sendiri. Apatah lagi, hampir 5 tahun mereka telah bersama dan mengenali hati budi masing – masing.

“Pak Mat jalan” arah dato tidak mahu berlengah lagi. Jam ditangan diconggak bagi mengira tempoh masa perjalanan yang akan mereka tempuhi.

Zaqrie hanya memerhatikan dari jauh Mercedes mewah keemasan itu meluncur keluar ke jalan besar. Tentunya haru – biru jika Zurina ke sana. Apakah patut dia mencampuri urusan mereka atau membiarkan saja. Membiarkan bererti rahsia akan terbongkar. Zaqrie tidak dapat berfikir apa – apa saat ini.

Namun, jauh di sudut hati, dia tidak tergamak membayangkan keadaan yang bakal terjadi bahkan tak sanggup melihat Adawiya kecewa. Salah dirinya juga kerana tidak berterus – terang tentang Ikram. Namun apakan daya dia cuma mahu gadis kesayangannya itu bahagia dengan pilihannya.

Zaqrie berjalan mundar – mandir sambil berfikir. Dia masih ragu dengan tindakannya. Perlukah dia memberitahu Adawiya sendiri atau menelefon saja Ikram…argh! Kenapa mesti aku menolong lelaki tak guna tu…perasaan Zaqrie berbelah bagi dan berperang sendiri.

Adawiya pula...masakan dia mahu mendengar kata – kata aku saat ini…gumam Zaqrie sendiri.

Dia bimbang dituduh sengaja mensabotaj majlis mereka. Adawiya pasti menyalahkan dan membencinya kelak.

Dia berfikir sejenak.

‘Tak boleh jadi ni…’ Zaqrie pantas mencapai kunci dan bergegas ke keretanya. Telefon dibimbit dikeluarkan dan nombor seseorang didial.

“Hello. Malik, kau kat mana…”

“Okay…tunggu sana. Nanti aku cerita. Aku ‘pick-up’ kau sekarang”.

Talian dimatikan dan kereta dipecut laju ke destinasi yang dituju.

Tuesday, June 7, 2011

Diulit DOSA CINTA...31

BAB 31


Pejam – celik hampir 2 minggu aku sudah berada di kampung. Segala persiapan hari pernikahanku telah ditetapkan pada akhir bulan nanti. Wakil rombongan yang bertandang bagi membincangkan urusan perkahwinan selesai dengan penuh adat.

Cuma yang menjadi kemusykilan keluargaku ialah permintaan keluarga Ikram yang mahukan majlis pernikahan kami dibuat secara tertutup. Majlis kenduri kendara sekadar menjemput sanak – saudara yang rapat saja. Segala persediaan dan kelengkapan untuk majlis nikah juga telah diatur sepenuhnya oleh mereka. Sungguh! aku pelik dengan permintaan pihak Ikram itu.

Abah dan emak mula berfikir yang bukan – bukan . Mereka sama sekali tidak bersetuju perkahwinanku diatur seperti itu, umpama sebuah majlis hanya untuk menutup malu. Abah tidak mahu ia menjadi buah mulut orang lebih – lebih lagi mulut orang – orang kampung yang tinggal berdekatan. Namun setelah didesak beberapa kali oleh mak saudara Ikram barulah abah bersetuju dengan hati yang berat untuk mengadakan majlis kami secara sederhana saja.

Bagaimana harus aku berdepan dengan keluargaku. Apa yang perlu aku jelaskan pada emak dan abah. Ikram lansung tidak membincangkannya denganku terlebih dahulu. Aku jadi terpinga – pinga dan mengumam seribu bahasa.

Mujur juga petang nanti, Ikram mengajakku keluar untuk ke butik perkahwinan bagi mengambil tempahan baju nikah dan membeli sedikit barang – barang keperluan yang lain. Inilah masanya, aku akan bertanyakan hal tersebut. Kalau mengikut perancangan keluarga Ikram, hanya majlis di sebelah perempuan saja yang akan dirai. Pihak lelaki tidak akan mengadakan sebarang majlis di tempat mereka sepertimana yang diminta oleh Ikram sendiri.

Rasa kehairanan semakin membungkam dihati. Apa masalah Ikram sebenarnya? Kenapa dia tidak berbincang dengan aku? Bagaimana harus aku teruskan hidupku dengannya jika hal serumit ini enggan dikongsi?.

Jam dinding hampir menunjukkan pukul 2. Sebentar lagi Ikram pasti akan sampai. Aku yang masih belum bersiap pantas mencapai tuala yang tersidai di birai katil lalu menuju ke bilik mandi.

Bersiap ala kadar dengan blouse ungu samar dan jeans. Tudung yang sama tona warna dipadankan dengan blouse yang ku pakai, masih memberikan penampilanku tampak menawan. Solekan tipis memberikan impak pada keserian wajah agar tidak kelihatan terlalu pucat. Lagipun hampir seminggu juga aku tidak bertemu dengan Ikram. Semenjak dipindahkan ke cawangan di sini, Ikram kerap berulang – alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Jarang benar kami berjumpa kerana kesibukan Ikram. Pastinya, aku tidak ingin dia melihat aku sebagai bakal isterinya itu selekeh.

Usai bersiap, aku melangkah menuruni anak tangga perlahan – lahan. Kedengaran serius perbualan antara abah dengan Ikram. Sememangnya abah masih kurang senang dengan perancangan yang diatur pada majlis perkahwinan kami.

Memandangkan perbincangan mereka yang serius, aku tidak berani nak menegur. Kakiku terus melangkah meluru ke dapur. Melihat emak sedang sibuk menyediakan minuman untuk tetamunya itu, aku pantas membantu.

“Dah lama Ikram sampai mak” tanyaku kepada emak yang sedang membancuh air sirap bandung. Aku mengambil gelas dan menyusunnya di atas dulang.

“Tidak lama sangat, ada 10 minit agaknya”.

“Oh!”

“Kenapa?” emak mengerut kening dan memandangku dengan seribu pertanyaan diwajahnya.

“Err…tak ada apa – apa lah mak” cepat – cepat aku membawa dulang minuman yang telah tersedia ke ruang tamu sebelum emak bertanya lebih lanjut. Aku tahu emak termasuk ahli keluargaku masih tidak berpuas hati dengan keputusan majlis perkahwinanku itu.

Dulang minuman diletakkan di atas meja. Mereka terdiam serentak. Aku menuangkan air ke dalam gelas lalu menghulurkannya pada abah dan Ikram. Ikram sempat mengerling tajam kepadaku. Kenapa pulak ni…hatiku mula berdetik cemas.

Aku mencuri dengar tatkala abah mula bersuara.

“Pak cik harap Am fikirkanlah. Adawiya anak pak cik yang bongsu, yang terakhir sekali dalam keluarga pak cik selepas kakak dan abangnya berkahwin. Walaupun majlis derang pak cik buat kecil – kecilan tapi tetap meriah. Malu pak cik kalau majlis kenduri Adawiya pula kena buat senyap – senyap.Nampak macam anak pak cik tu tak ada maruah, tak ada harga diri. Malu pak cik Am…..malu”, luah abah dengan nada kesal.

Hatiku tersentap dengan kata – kata abah. ‘Maruah’! Ya! Maruah dan harga diri….tanpa aku sedari atau aku alpa akan kekurangan diriku yang satu itu. Satu – satunya maruah dan harga diriku yang telah hilang di tangan lelaki durjana itu. Aku kesal kerana tak mampu untuk berterus – terang pada Ikram. Aku tidak tahu dari mana aku patut mulakan. Peluang yang ada ketika bersamanya selalu disia – siakan. Ah! kalau diikutkan rasa hati ingin saja aku batalkan majlis ini dari terus menanggung seksa menyimpan rahsia silamku itu.

Aku memandang Ikram yang menunduk diam. Tiada bicara yang lahir dari bibir lelaki itu. Resahnya memberi petanda kepadaku.

“Abah…kami kena berangkat sekarang. Dah lewat ni, ada temujanji dengan Kak Zah pasal tempahan baju” celahku setelah melihat Ikram yang semakin gelisah duduknya. Abah mengangguk tanpa berkata sepatah pun.

Ikram bingkas bangun. Menyalami tangan abah dan mengungkap sesuatu,“Saya faham perasaan pak cik, pak cik jangan risau. Saya yakin ini yang terbaik buat kami. Saya minta diri dulu”.

“Harap – harap begitulah. Jaga diri, jangan balik lewat sangat nanti”, mendatar saja percakapan abah. Kecewa barangkali.

“Baiklah pak cik. Kami pergi dulu mak cik” Ikram menyalami emak pula. Aku sekadar mengekori Ikram dari belakang.

“Pergi dulu ya, mak”

“Emm…jaga diri baik – baik. Jangan balik lewat sangat pulak” emak mengingatiku lagi.

“Baik mak”.


***************

Ikram membisu sepanjang perjalanan ke butik pengantin Kak Zah. Aku tahu dia marah. Marahkan abah yang memaksanya mengadakan majlis perkahwinan kami dengan cara yang lebih elok dan manis. Tapi aku rasa permintaan abah dan keluargaku itu wajar dan berpatutan. Tidak pula berlebihan ataupun nampak bermewah – mewahan pada hematku.

Entahlah…aku semakin tidak memahami sikap Ikram yang semakin lama semakin aku rasakan terlalu dingin dan berlainan sekali. Sekaligus menyukarkan aku untuk bercakap dan berterus – terang dengannya.

Setibanya di butik, kami disambut mesra oleh Kak Zah. Sememangnya, Kak Zah seorang yang amat peramah dan mudah mesra pada sesiapa saja yang menjadi pelanggannya. Kak Zah yang baru ku kenali minggu lalu diperkenalkan Ikram sebagai kenalan rapat, jadi ia memudahkan lagi urusan kami.

Kak Zah mengeluarkan busana indah yang telah siap ditempah dan menghulurkannya kepadaku untuk dicuba.

“Wow! Cantiknya Kak Zah” kagum aku melihat hasil rekaan busana itu. Mewah dan sarat dengan labuci yang dijahit kemas di biku lengan dan dada baju. Pasti ribuan harganya.

“Kalau tak cantik jangan panggil nama Kak Zah tau. Kak Zah kena pastikan setiap pelangan Kak Zah mesti dapat yang terbaik dari butik ini. Puas hati tak” ujar Kak Zah mesra.

“Puas hati sangat Kak Zah. Saya suka betul baju ni. Awak suka tak Ikram”.

“Emm...” jawabnya acuh tak acuh. Langsung tidak menghiraukan aku yang sedang mempamerkan busana itu. Eeii…sakitnya hati. Kenapa dengan dia ni…

Kak Zah yang perasan situasi kami, pantas mencelah, “Okay…okay…Wiya cuba dulu baju ni, tengok kalau – kalau ada yang tak kena nanti boleh Kak Zah betulkan semula”.

“Emm…baiklah”.

Aku melangkah menuju ke bilik persalinan yang terletak dibahagian belakang butik tersebut.

“Masih muram lagi. Dah nak nikah minggu depan pun masih tak gembira ke” tegur Kak Zah melihatkan Ikram yang mendiamkan diri sejak dari tadi.

“Entahlah kak. Rasa tak sedap hati pulak sekarang ni” balasnya mendatar.

“Itulah kamu. Nak dapat dua sekali kenalah tanggung risikonya. Patutnya kamu kena gembira sekarang ni” sindir Kak Zah yang sememangnya mengenali Ikram dari kecil lagi.

“Kak, tak kelakar laa….” kerling Ikram. Kak Zah tersenyum meleret.

Tanpa diketahui Adawiya, hubungan Kak Zah dan Ikram bukan hanya sekadar kenalan rapat malah Kak Zah telah dianggap seperti ibunya sendiri. Kepada Kak Zah tempat Ikram mengadu masalah dan mencurahkan segala isi hatinya. Kak Zah adalah orang paling dipercayainya selama ini semenjak pemergian ibu tercinta ketika usianya remaja.

“Akak bukannya apa…Am, kesian tengok Adawiya tu. Lurus betul budaknya. Kenapalah kau tak berterus – terang aje. Cerita yang benar, mana tahu dia boleh terima” nasihat Kak Zah berhati – hati agar tidak menguriskan hati anak muda itu.

“Tahulah saya, kak. Biarkan dulu apa yang berlaku sekarang ni. Selagi boleh simpan…saya simpanlah sampai satu hari nanti, bila tiba waktu yang sesuai, saya ceritakan. Kalau dia pandai simpan rahsianya, saya pun kenalah bijak menyimpannya jugak, kan” balas Ikram menyedapkan hati Kak Zah.

“Suka hati kamulah Am. Akak doakan yang baik – baik aje untuk kamu. Akak harap sangat jangan kamu sia – siakan Adawiya, akak suka dia dari yang sorang lagi tu” luah Kak Zah tulus.

“Takkan saya nak sia – siakan dia. Saya sayang dia…kak. Dari mula saya kenal dia masa Marini tunjukkan gambar dia, saya dah jatuh cinta. Susah payah saya cari dia, baru dapat. Tak mudah nak saya lepaskan” terang Ikram penuh yakin.

“Memang akak puji niat murni kamu…tapi maksud akak, keadaan kamu tu. Kamu kena bagi tahu keadaan kamu yang sudah terikat dengan seseorang”. Kak Zah mengingatkan Ikram akan status dirinya.

“Tengoklah nanti ...kak”.

“Am…Am…jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran pulak nanti” nasihat Kak Zah lagi.

“Amboi! rancaknya berborak” tegurku sebaik menghampiri kedua mereka.

Raut wajah Ikram berubah. Kedua mereka terdiam dan perasaan aneh mula mengigit hatiku.

“Ala...borak – borak kosong aje Wiya. Macam mana baju tu…selesa tak”. Kak Zah sengaja mengubah topik.

“Err…dah okay rasanya Kak Zah” balasku sambil mata mengerling ke arah Ikram yang langsung tidak memandangku. Dia terlalu asyik melayani pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefon bimbitnya yang tak pernah lekang ditangan. Tingkahnya yang tidak mempedulikan aku membuatkan aku hilang ‘mood’ secara tiba – tiba.

“Mari Kak Zah tengok, ada tak bahagian yang perlu Kak Zah ubah” ujar Kak Zah sambil tangannya membelek – belek busana yang ku pakai. Dia membetul - betulkan kedudukan bahu baju, labuh lengan dan kain. Aku hanya berdiri tegak dan membiarkan Kak Zah melakukan tugasnya. Hilang keterujaanku terhadap busana indah ini.

Tumpuanku lebih ke arah Ikram yang masih tidak berganjak dari duduknya bersama telefon bimbit!. Mataku masih tidak kalih dari memerhatikan tingkah Ikram. Siapa yang dilayannya saat ini? Penting sangatkah hingga mengabaikan aku? Untuk apa ke sini kalau dia sekadar untuk menunjukkan sikap acuh tak acuhnya itu?.

“Kak Zah nak tandakan dulu bahagian belakang ni yang kena betulkan sikit, Wiya pergi tukar baju dulu ya” arah Kak Zah.

“Okay...”.

Aku tahu Kak Zah perasan dengan respon yang aku berikan tidak semesra tadi. Aku tidak mampu lagi menyembunyikan emosiku yang semakin menghimpit jiwa. Aku geram dan sakit hati.

Baju nikah yang ditempah ku serahkan semula kepada Kak Zah untuk dibaiki.

“Nanti Kak Zah bawakan baju ni masa hari nikah, bolehkan”.

“Saya ikut aje Kak Zah…tak apa kan, wak” tanyaku kepada Ikram. Dia yang terpinga sekadar menganggukkan kepala. Entah dengar ke tidak pertanyaanku itu. Ke mana jiwanya terbang melayang, aku tak ambil kisah lagi. Rasa kecewaku lebih berat ditanggung dari mengambil tahu apa yang sedang dia fikirkan.

“Awak tak nak cuba baju awak ke?”.

“Tak perlu lah” jawabnya ringkas.

“Suka hati awaklah”. Aku malas nak ambil tahu perasaannya yang dari tadi masih belum reda dengan sesuatu yang tidak memuaskan hatinya.

Aku bingkas bangun mencapai tas tangan. “Jomlah, kita balik”.

“Dah selesai ke”.

Pura – pura tanya pulak.“Dah!”.

“Emm…okay” jawabnya bersahaja. Ikram turut bangun mengekoriku ke muka pintu.

“Eh! kenapa tergesa- gesa ni” Kak Zah bertanya sambil menyalami tanganku.

“Err…ada hal lain nak diselesaikan Kak Zah. Dah petang sangat ni, takut tak sempat pulak nanti” dalihku.

“Kalau macam tu, Kak Zah jumpa kamu masa hari nikah aje nanti ya”. Aku mengangguk bersetuju dengan cadangan Kak Zah.

“Kirim salam pada emak dan abah”. Aku mengangguk lagi.

“Insyaallah Kak Zah….jumpa lagi”.

Kak Zah melemparkan senyuman sambil melambai ke arah kami hingga hilang dari pandangan.

Aku melangkah laju meninggalkan Ikram dibelakang. Aku berpura – pura tidak mendengari panggilannya yang berkali – kali itu. Tiba – tiba tanganku direntap dari belakang.

“Awak ni kenapa?” soalnya.

“Saya rasa saya yang patut tanya soalan tu pada awak”.

“Okay, apa yang tak kena dengan saya. Cuba awak cakap”.

“Saya tak tahu. Tapi sejak awak berbual dengan abah saya, sikap awak jadi lain. Kenapa? Awak marahkan abah?” soalku ingin tahu.

Ikram melepaskan helaan panjang. Dia menarik tanganku untuk ke satu sudut yang tidak terlalu ramai orang. Gedung terkenal yang terletak di tengah bandar JB pastinya menjadi kunjungan orang ramai di hari minggu. Jadi kami terpaksa mencari ruang sudut yang boleh berbicara tanpa gangguan dan tumpuan orang ramai.

Keluhan Ikram kali ini lebih berat kedengaran.

“Saya harap sangat abah awak faham situasi kita. Bukan saya tak mahu buat majlis ni dengan meriah. Tapi saya lebih risaukan keselamatan awak dan saya. Saya tak mahu majlis kita diganggu. Awak faham tak?” , terang Ikram bagi menjelaskan kemahuannya.

“Saya faham kehendak awak. Tapi salah ke abah nak jemput orang – orang kampung, rakan – rakan seperjuangannya dulu dan saudara – mara yang lain. Kalau tak buat meriah pun saya tak kisah, wak. Asalkan semua jemputan diundang untuk meraikan majlis kita ni. Tapi awak nak buat majlis nikah kita secara tertutup pulak. Itu yang saya hairan”.

“Hisy! Awak tak faham ke…saya nakkan privasi. Saya tak mahu diancam semasa majlis nikah kita tu nanti”.

“ Diancam? Dari siapa? ” dahiku berkerut memikirkan ancaman yang ditakuti oleh Ikram.

“Zaqrie dan keluarga dato” Ikram berterus – terang agar mudah rancangannya kelak. Aku melopong mendengarkan pengakuan Ikram itu.

“Zaq…Zaqrie? Dan keluarga dato’? Ta..ta..tapi kenapa?” tiba – tiba suara gugupku tak dapat diselindung lagi.

“Takkan awak tak tahu…kes saya dengan Zaqrie dulu tu, belum selesai. Dato dan keluarganya masih dendam dengan saya. Mereka takkan lepaskan saya macam tu aje”, bohong Ikram untuk mencari helah. Sememangnya Zaqrie adalah saingannya, jadi mudah baginya mengunakan lelaki itu sebagai senjata.

Kali ini kerut didahiku hampir bercantum dengan kening. Aku semakin pelik dengan kenyataan Ikram itu. Setahu aku kes mereka telah selesai dengan aman, mengapa ada dendam lagi. Secara logiknya, kes mereka tiada kaitan lansung dengan majlis yang bakal dirai. Hampir sekian lamanya aku tidak mendengar cerita – cerita mereka lagi sejak tinggal dikampung. Bagaimana mereka boleh dianggap ancaman kepada majlis itu nanti?....Argh! seribu pertanyaan berlegar dimindaku bagi memahami kekusutan yang Ikram alami.

“Emm..entahlah wak. Keliru saya dengan masalah awak ni” getusku perlahan.

“Senang aje. Saya nak privasi. Awak ikut aje apa yang dah kita rancangkan. Tentang abah, pandai – pandailah saya pujuk nanti” ujar Ikram cuba memujukku.

Aku diam dan akur atas apa yang Ikram rencanakan demi kebaikan hubungan aku dan dia.

Thursday, May 5, 2011

Diulit DOSA CINTA...30

BAB 30


Tepat jam 9 pagi, Ikram tiba seperti yang dijanjikan. Dia melambai ke arahku sejurus keluar dari kereta. Aku hanya mampu membalasnya dengan senyuman manis di muka pintu. Salina yang ketika ini memaut dibelakangku tidak jemu – jemu mencuit pinggangku menyebabkan aku tidak dapat berdiri betul kerana menahan kegelian.

Memang nak kena minah sekor ni….sengaja nak main – mainkan aku, siap kau! ..marahku masih dapat dikawal di hadapan Ikram yang sedang bergerak menghampiri kami.

‘Tu…buah hati kesayangan kau dah sampai…apalagi, sambut ler’ bisik Salina perlahan ke cuping telingaku. Aku mengerling geram.

‘Pergilah! Sibuk aje…’pantas Salina mencuit lagi pinggangku sebelum beredar. Mujur saja aku tidak melatah di situ. Salina tergelak besar kerana dapat mengenakan aku. Bertambah - tambah lagi geram aku terhadapnya namun tiada apa yang dapat aku lakukan kerana Ikram sudahpun terpacul di hadapanku.

“Hai…sayang”

“Hai..” sahutku.

“Ready?”

“Yup!”

“Mana beg awak?”

“Oh!... ada sini” aku berpaling ke belakang mengangkat sebuah beg lalu menghulurkannya kepada Ikram. Tak banyak barang yang aku bawa semasa berada di sini. Hanya cukup – cukup untuk kegunaan 3 hari saja.

Usai bersalaman, aku masuk ke dalam kereta dengan perasaan yang terharu. Wajah Salina juga suram. Kereta bergerak perlahan dan aku tidak mampu lagi melambai ke arahnya. Sebaknya rasa menahan airmata dari gugur. Banyak kenangan yang ku tinggalkan bersamanya di sini. Satu – satunya sahabat yang aku senangi selama ini. Akhirnya sebutir mutiara jernih gugur jua ke pipiku.

“Are you okay sayang…” lembut Ikram memujukku.

Aku tersenyum tawar. Menyapu titis airmata yang gugur agar tidak nampak keterlaluan kesedihan yang aku alami.

“Sudah la tu…jangan sedih – sedih” Ikram memujuk lagi sambil tangannya mengusap perlahan pehaku. Hampir saja aku terjerit kerana terkejut dengan tindakan Ikram yang menjanggalkan itu.

“Kenapa Wiya?”

Ikram hairan melihat kelakuanku yang kalut. Aku pura – pura membuka tas tanganku untuk mengambil sesuatu agar dia tidak terasa hati dengan tindakanku itu tadi. Dengan cara itu juga aku dapat mengelak dari Ikram terus melekapkan tangannya ke atas pehaku. Bimbang perlakuan kurang sumbang akan wujud jika aku merelakan perbuatan itu berlarutan.

Lagipun, aku perasan semenjak aku di sini Ikram agak berani memegang dan menyentuhku dengan mesra. Kecut juga dibuatnya. Aku juga terasa dia seakan ingin cuba merapatiku dengan lebih akrab lagi, namun selagi itulah aku terus berusaha mengelak dengan pelbagai cara yang berhemah kerana tempoh bertunang bukan tiket untuk dia melakukan sesuka hati begitu.

“Saya minta maaf kalau awak tak biasa saya buat macam tu” keluh Ikram seakan dapat menghidu kebimbanganku. Aku diam dan mula berasa kesal. Menyalah-anggap Ikram yang bukan – bukan sedangkan dia tidak mempunyai niat buruk begitu barangkali. Ah! fikiranku selalu saja negatif…

“Err…bukan macam tu wak, cuma saya rasa tak selesa, maafkan saya” bergetar nada suaraku bagi menjelaskan maksud keadaanku sebenar. Berhati – hati aku menyusun ayat agar dia tidak lebih terasa hati lagi dengan tindakan salahnya itu. Namun pendirianku tetap utuh untuk yang satu itu iaitu tidak menyukai mana – mana keadaan yang boleh mencetuskan sebarang perlakuan sumbang.

“Tak mengapa..saya faham” ujar Ikram perlahan. Dia fokus memandu dan serius. Aku rasa serba – salah dan kekok apabila berada di dalam situasi begini. Terasa hatikah dia? emm…

“Awak, kita berhenti sekejap kat simpang depan tu boleh. Saya nak beli barang sikit” pintaku setelah melihat deretan kedai – kedai tidak berapa jauh dari persimpangan jalan yang kami lalui.

“Okay..” jawabnya ringkas.

Ikram memberikan isyarat lampu ke kiri untuk mencari ruang memberhentikan kereta di bahu jalan. Setelah memastikan selamat, aku bergegas keluar menuju ke sebuah kedai farmasi untuk membeli sedikit barang keperluan Ikram kerana semalam aku tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Memandangkan Ikram agak liat untuk ke klinik, aku mengambil keputusan untuk membeli beberapa barangan tersebut buat merawati kesan luka yang masih berparut pada muka dan tangannya.

Aku membelek satu persatu kandungan pada label botol ubat pencuci antiseptik bagi memastikan butirannya sesuai dengan kegunaan nanti. Mengambil beberapa kapas dan pembalut luka. Aku mengambil juga beberapa barang keperluan yang lain yang sepatutnya perlu ada dalam simpanannya seperti Panadol, plaster dan minyak angin.

Kesian juga aku melihat keadaan Ikram sewaktu menghantarnya pulang ke rumah sewanya kelmarin, tiada satu ubat pun dalam simpanannya sekalipun pil panadol. Sudahlah ke klinik pun tidak mahu, simpanan ubat pun tak ada.

Hanya mengharapkan kecederaannya itu baik sendiri, daif benar pada hematku. Bila diselidiki barulah aku tahu bahawa Ikram tidak punya sesiapa di dunia ini selain adik perempuannya yang berlainan ibu. Dia tinggal bersendirian selama ini. Jadi benda – benda sebegitu tidak menjadi keutamaan dirumahnya.

Patutlah pun....Aku dan Salina terharu mendengar kisah Ikram walaupun agak sukar dia meluahkan perasaannya ketika itu. Baru kini aku mengerti mengapa selama ini Ikram sering mengelak dari menceritakan kisah keluarganya. Ada terpalit sejarah duka yang tak bisa dia lupakan, sepertimana juga diriku .

Khabarnya adik Ikram berada di Johor bersama neneknya, senegeri dengan aku selama ini. Mungkin satu hari nanti aku akan dapat berkenalan dengan satu – satunya ahli keluarga Ikram. Sebak juga memikirkan cerita sedih disebalik kehidupan Ikram. Dia memang lelaki tabah. Dalam diam aku mengagumi keperibadiannya selaku seorang abang yang bertanggungjawab.

“Hai! jauh mengelamun”. Satu suara telah mematikan lamunanku. Dan aku kenal benar dengan suara garau itu. Hampir terlepas barang dalam peganganku. Dia tersengih sumbing.

“Beli ubat untuk buah hati?” Sindirnya yang menyakitkan hatiku. Aku menjeling. Sebetulnya, aku tidak berminat untuk berbual panjang dengannya. Marahku masih bersisa sejak kejadian Ikram kelmarin. Sepantas itu jua langkahku laju menuju ke kaunter bayaran.

“Untuk saya ada tak?” Dia masih bermuka tebal. Tersengih – sengih macam kerang busuk. Gadis kaunter yang sedang mengimbas label harga turut tersenyum. Aku tak ambil peduli.

“Emm...dik. Isteri abang ni memang kuat merajuk. Susah betul abang nak pujuk dia” guraunya selamba. Gadis itu tergelak kecil. Aku menjengkilkan mataku menahan geram. Tanpa berlengah aku mencapai barang yang ku beli lalu beredar. Dia membontotiku dari belakang.

“Bang …semoga berjaya ya!” laung gadis itu.

“Ok ..thanks…bye!”. Mata dikenyit dan isyarat ‘bagus’ disuakan. Gadis itu ketawa sambil melambai ke arah kami.

Aku melangkah secepat yang mungkin.

“Wiya…lajunya awak jalan”.

“Sorry! Do I know you?”. Aku berpura – pura tidak mengenalinya.

Tiba – tiba dia ketawa besar.

“Lucu sangat ke?”. Aku mendengus.

“Saya rindu awak”. Lain yang ku tanya, lain yang dia jawab.

Langkahku terhenti. Berpaling ke arahnya yang sudah berkaca mata hitam. Sukarnya melihat anak matanya yang pasti nakal. Macam manalah dia boleh cari aku sampai ke sini.

“Saya tak rasa kita patut bincangkan hal ini lagi!”.

“Why? Awak takut?” ujarnya seolah – olah mencabarku.

“You should know Zaqrie. Lagipun saya nak cepat, sorry” bidasku bersahaja. Bukan boleh dilayan sangat lelaki ini…aku tergesa- gesa melangkah menuju ke arah kereta Ikam.

Dari jauh, Ikram kelihatan sudah tercegat di tepi keretanya dengan bercekak pinggang. Wajahnya agak bengis dan nampak ketara kecemburuannya. Pasti dia telah melihat interaksi antara aku dengan Zaqrie. Aku bimbang kalau – kalau tercetus pergaduhan di sini. Aku berlagak seperti biasa dan cuba tidak melayani karenah Zaqrie namun lelaki itu tetap bersahaja melangkah beriringan di sebelahku. Lagaknya yang selamba benar – benar mengundang kemarahan Ikram. Aku tidak mampu lagi menegahnya. Zaqrie memang degil.

“Hai! Ikram…serius nampak” tegur Zaqrie selamba.

“Macam mana kau ada kat sini? Kenapa kau ekori Adawiya?” bentak Ikram marah.

“Hei! soalan jenis apa ni. Suka hati aku lah. Aku boleh berada di mana – mana yang aku suka, dan yang penting di mana ada Adawiya disitulah aku ada” balas Zaqrie dengan sengih nakalnya. Ikram berasa lebih sakit hati.

“Kau memang dah melampau Zaqrie…tak puas ke kau ganggu hidup kami” marah Ikram meletus.

“Siapa melampau? Kau atau aku…ingat!” Zaqrie menuding jari tepat ke muka Ikram.

Suasana tegang menyebabkan orang yang lalu lalang saling memandang ke arah kami. Aku mula risau dan malu dengan kelakuan mereka. Ketegangan wajah mereka berdua bagaikan anjing dengan kucing. Aku masih tercari – cari apakah puncanya mereka bertengkar. Bimbang perbalahan itu berlarutan lalu aku memujuk Ikram supaya beralah.

“Sudah la tu wak. Jangan bertekak boleh tak?” rayuku.

“Hah! betul kata Adawiiya tu. Kau patut dengar nasihat dia” perli Zaqrie sambil mengerling ke arahku. Aku mengetap geram. Eeii..Lelaki ni memang tak reti nak faham!

“Zaqrie...please…please…” aku mohon ehsan Zaqrie pula agar menamatkan pertengkaran ini. Wajahnya ku renung dalam dan sejernih air bergenang di kelopak mataku. Zaqrie seakan mengerti lalu mengeluh. Dia menarik hela panjang.

“Okay…tak apa. Kali ini aku lepaskan kau, Ikram. Tapi ingat tempoh seminggu masih berjalan. Aku tunggu tindakan kau. Chow!”. Zaqrie berlalu meninggalkan aku dalam tanda tanya maksud yang tersirat dalam kata – katanya. Ikram pula masih dengan amarahnya. Aku tak tahu nak buat apa – apa lagi selain dari mendiamkan diri.

Aku memerhatikan dari jauh Zaqrie pergi meninggalkan kami. Dibenakku masih tertanya – tanya apakah yang ditunggu oleh Zaqrie? Apa yang dia mahukan dengan Ikram dalam tempoh satu minggu itu?.

“Wiya! Masuk!” .Tidak semena –mena Ikram mengherdik mengarahkanku dengan kasar. Aku terkedu. Ikram benar – benar berang. Cepat – cepat aku memasuki perut kereta. Dia menghempas pintu kereta dan menekan pedal minyak hingga mengaum. Kereta di pecut laju di jalan yang sesak membuatkan aku kecut perut. Ikram seolah – olah hilang akal. Sikapnya sama sekali berubah tidak seperti yang aku kenali sebelum ini.

Dari jauh ku lihat sebuah motorsikal berkuasa tinggi sedang mengekori belakang kereta kami. Bila ku amati rupanya penunggangnya adalah Zaqrie!. Dia cuba merapati kereta Ikram. ‘Visor’ helmet diangkat dan dia sempat mengenyitkan matanya ke arahku sambil isyarat tangan disuakan kepada Ikram sebagai simbol amaran. Ikram yang semakin marah cuba memintas kelajuan motorsikal Zaqrie namun lelaki itu terlebih dahulu memecut ke depan.

Ducati Monster merah hitam memecut laju dan hilang dalam kesayupan. Sementara Ikram yang masih panas hati juga tidak mahu mengalah. Dia terus memandu laju tanpa memikirkan keselamatanku di sebelah. Aku tak tahu apa yang di kejarnya. Atau dia ingin melepaskan rasa tidak puashatinya dengan cara begini. Aku dihantui rasa kecut yang teramat – amat.

“Ikram…mengucap. Laju sangat ni” aku cuba menegur tingkahnya yang sudah tidak terkawal itu.

“Ikram!!..” aku menegur lagi. Kali ini barulah dia tersedar lalu memperlahankan keretanya.

“Tak boleh ke awak bertenang sikit . Jangan ikutkan rasa marah awak tu”.

“Memang saya marah…geram! awak tahu tak? Saya amat – amat geram dan cemburu masa awak melayan jantan tu?” herdiknya.

Aku tergamam. Beginikah caranya Ikram melayani aku tatkala marah menguasai dirinya. Aku mula takut. Ikram seakan menyedari tindakannya lalu beristigfar panjang.

“Maafkan saya. Saya memang tak dapat kawal marah saya Wiya. Saya geram, panas betul hati saya” tuturnya dalam nada yang rendah. Aku amat memahami keadaannya. Aku tahu apa yang dia lalui. Jika aku berada di tempat Ikram pasti aku juga akan bertindak seperti itu.

“I’m sorry sayang” tukasnya lagi. Aku mengangguk sambil tersenyum paksa tanda kemaafannya kuterima. Ikram mengenggam tanganku lalu spontan dibawa rapat ke bibirnya. Aku cuak dan ingin menarik tanganku kembali tetapi tindakannya terhenti apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi sekaligus menyelamatkan aku dari situasi tersebut. Fuh!…

Genggaman dilepaskan. Ikram mengerling nombor si pemanggil. Dia membiarkan telefonnya berbunyi hingga habis nada lagunya berdering. Aku kehairanan.

“Kenapa awak tak ‘pick-up’” soalku ragu dengan perbuatannya.

“Emm..tak payah kot. Budak ex-office saya call, malaslah nak angkat” jawabnya sekadar berbasa- basi. Aku tak berniat untuk bertanya lebih lanjut lagi.

Kereta Ikram meluncur memasuki lebuhraya menuju ke Selatan. Saat ini kenderaan yang menuju ke Selatan masih tidak banyak. Tak ramai pemandu yang suka memandu di waktu pagi. Kebanyakannya gemar memandu di lebuhraya pada sebelah petang ataupun malam, redup kata mereka. Aku pula lebih suka bergerak pagi kerana aku akan tiba di kampung waktu masih siang lagi. Lagipun kalau berduaan di dalam kereta di waktu malam bukankah amat menjanggalkan lebih – lebih lagi jarak perjalanan yang memakan masa 3 hingga ke 4 jam tu, eeii…macam – macam boleh jadi…ngeri aku.

Telefon bimbit Ikram berdering lagi. Aku memerhatikan tingkahnya yang gelisah untuk menjawab panggilan itu. Deringan itu dibiarkan mati begitu saja. Dia berlagak biasa walaupun aku tahu dia sebenarnya sudah tidak keruan.

Deringan telefon bimbitnya bergema buat kali ketiga. Dia masih tidak mahu menjawab panggilan itu. Pelbagai persoalan bermain dibenakku. Siapakah yang menelefon? Apakah yang ditakutinya? Serta – merta kata – kata Salina menerjah masuk ke mindaku. Mungkin benar telahan sahabatnya itu, lelaki punya seribu satu alasan berkaitan dengan telefon bimbit. Ingin saja aku mengangkatnya.

“Kenapa tak jawab wak”

“Ala….tak penting lah sayang”

“Kalau tak penting, tak kan bertalu – talu bunyinya”

“Okay…saya ‘offkan’ telefon ni” pantas jarinya menekan butang mematikan telefon bimbitnya dari berdering lagi.

“Laa…saya bukannya suruh awak ‘off’ kan. Jawab aje lah kalau tak penting sekalipun mungkin ada kecemasan. Awak ni sensetif betul lah” rungutku dengan rasa kesal menegur Ikram tadi.

“Saya pulak yang sensitif. Sebenarnya, awak tu yang sensitif, berfikir yang bukan - bukan” Ikram memulang paku buah keras. Aku pulak yang dipersalahkan. Sudahnya aku malas nak bertekak dengannya lagi. Tidur lagi baik.

“Wiya…”

“Emm..”

“Kita berhenti di Hentian Rehat Seremban ya. Saya laparlah…”

“Okay…you are the driver”.

“Yup! I’m”.Pantas jarinya mencuit hujung hidungku. Hisy! Nak merayap je tangan dia ni tau. Aku katuk kang baru tahu…aku mula rasa rimas. Sekurang - kurangnya 3 jam lagi aku perlu menempuh semua ini bersamanya ….aduhai!

Sebaik saja sampai di kawasan rehat Seremban, Ikram tergesa keluar dari kereta. Entah apa yang dicemaskannya aku pun tak tahu. Aku sekadar menanti di dalam kereta. Perutku masih tidak lapar. Aku mencapai telefon bimbitku. Ku lihat satu mesej telah masuk. Oh! Rupanya dari Salina.

Aku tersenyum lebar atas ucapan selamat yang dihantarkan kepadaku. Aku membalas semula mesejnya.

Jam tangan dikerling sekilas. Agak lama juga Ikram bersarapan. Aku mula terasa ingin keluar untuk ke tandas. Enjin kereta dimatikan dan dikunci. Kakiku melangkah menuju ke tandas awam yang disediakan untuk pengguna lebuhraya.

Tiba – tiba aku ternampak kelibat Ikram mencurigakan di belakang tandas awam lelaki. Aku memerhatikan tingkahnya yang agak pelik. Berjalan mundar – mandir di situ…kenapa ya? Aku melewati kawasan itu agar lebih jelas apa yang ingin ku lihat. Namun kehadiranku di situ masih tidak disedari oleh Ikram.

Ikram sedang bergayut di talian rupanya. Raut wajahnya agak tegang kemudian bertukar menjadi normal. Sekejap pula ketawa, lepas tu serius. Pelik benar ni…reaksinya seolah – olah sedang menghadapi masalah yang besar tak ubah seperti memujuk sang kekasih yang sedang merajuk. Adakah kerana panggilan sebentar tadi tidak berjawab, barangkali juga…tapi mengapa dia mesti sembunyi – sembunyi. Hatiku mula digamit rasa ingin tahu.

Aku bergegas kembali ke arah parkir kereta. Niatku untuk ke tandas terus terbatal. Sejurus aku duduk, kelihatan Ikram berlarian anak menuju ke kereta. Dia nampak gembira, tidak setegang tadi.

“Awak makan apa tadi” serkapku, saja menduga.

“Nasi Lemak. Sedap!”

“Oh! Ya ke…” aku tahu dia berbohong.

“Kenapa ni?”

“Eh! tak ada apa – apa la.. Saja tanya”.

“Emm..okay” tuturnya sambil lewa seperti tiada apa yang berlaku.

Enjin dihidupkan dan kereta mula bergerak.

“Semalam awak ada ke mana – mana tak?” dugaku lagi. Ikram mengerut kening. Raut wajahnya berubah. Dia seolah – olah mengesyaki sesuatu.

“Err…kenapa awak tanya ni…lain macam aje” Ikram bersuara pelik.

“Sebenarnya, saya nampak kereta awak di Alamanda. Awak ada ke sana semalam?” tanyaku secara terus dan jujur tanpa berselindung. Aku tahu sekiranya aku berterus – terang atau sebaliknya, jelas tidak akan memberikan apa – apa makna kerana aku dapat merasai Ikram bijak menyembunyikan sesuatu.

“Semalam? Oh! Semalam tu, adik saya yang guna kereta ni. Dia jumpa kawan lama dia” bohong Ikram.

“Adik awak ada di KL? Kenapa awak tak kenalkan pada saya?”

“Belum masanya sayang…saya akan kenalkan pada awak bila tiba waktunya”.

“Bila dia sampai?”

“Pagi semalam”.

“Teruk betul awak ni. Adik awak ada di KL, sanggup awak tak kenalkan pada saya” ujarku dengan muncung sedepa.

“Emm..merajuklah tu”

“Tak lah…kecewa aje” perliku. Ikram tergelak besar.

“Sudahlah…awak rehat ya. Jangan banyak fikir. Saya nak memandu pun susah, awak banyak soal” ujarnya yang masih ketawa. Aku mencebik seolah menyangkal tuduhanya yang tidak berasas itu.

Sementara Ikram terasa lega kerana masalah keduanya selesai walaupun banyak pembohongan yang berlaku. Namun baginya Adawiya tidak perlu tahu. Gadis itu terlalu naïf dan dia tidak mahu menyakitinya. Sungguh tak disangka, keretanya ditemui oleh gadis itu. Gara – gara keinginan Zurina yang mengidamkan makanan masakan Thai Cakri Xpress di Alamanda, maka Ikram terpaksa memenuhinya tanpa dapat membantah. Panggilan telefon yang acapkali sebentar tadi juga amat mengganggu Ikram, puas dia memujuk Zurina untuk tidak menghubunginya hingga dia selamat tiba di Johor Bahru. Namun pujukan demi pujukan akhirnya Ikram berjaya meyakinkan Zurina yang terlalu kuat curiga itu. Berlainan dengan Adawiya yang ternyata lebih mudah untuk dipujuk. Dia tersenyum puas dan mengerling gadis disebelahnya yang telah lena.