Tuesday, May 11, 2010

Evolusi Rindu_3

BAB 3

Kad ditangan dibaca dua tiga kali. Dia membelek lagi alamat yang tercatat di dalam kad itu. Yakin betul banglo besar bak istana yang terbentang luas di depan mata itu benar – benar pemilik kepada kad tersebut, barulah dia bersenang hati.

Jari runcingnya pantas menekan loceng. Kad pemberian Dato Maznah tempoh hari diselitkan kembali ke dalam saku seluarnya.

Keluar seorang pengawal berbangsa India bersama seekor anjing ‘Rottweiler’ sebesar budak umur 6 tahun..Fuh! besarnya. Gerun juga hatinya memandang rupa binatang yang bengis dengan lidahnya yang terjelir dan jejehan air liur pekat yang mengelikan. Menjarakkan sedikit dirinya dengan anjing itu.

“Cari sapa adik..”

“Err..ini rumah Dato’ Maznah ke”

“Ya, betul”

“Boleh saya jumpa dengan dato’ ”

“Nama sapa?”

“Nurul Lisa Binti Nasaruddin”. Nama penuh diberi..mudah.

“Sekejap tunggu adik?”. Pengawal itu kemudian masuk ke pondok teduhan dan keluar semula. Barangkali membuat panggilan.

“Itu bibik cakap, dato’ sedang mandi tapi belakang adik boleh tunggu itu dalam. Itu belakang jugak bibik panggil adik itu tunggu dato’ turun jugak. Itu belakang jugak...”.

“Ops..stop! stop!”.

Isyarat berhenti diangkat kedua tangannya ke depan.

“Cukup! cukup!. Ayoo..ane punya ‘belakang’ sudah bikin saya punya kapla banyak pusinglah…sudahlah saya cari sendiri nanti” ajukan juihan bibir sambil kepala digelengkan. Walaupun berbelit, namun dia masih dapat menangkap apa maksud yang ingin disampaikan oleh pengawal itu.

Pengawal itu tersengih menyedari kelemahanya. Barisan gigi yang berkarat dan agak kekuningan membuatkan dia loya untuk terus berhadapan dengan lelaki itu.

“Okaylah. Jangan risau ane. Saya pergi dulu aa..” Cepat – cepat dia beredar dari situ. Menunggang laju masuk ke dalam perkarangan halaman yang luas. Skuter diparkir berhampiran dengan garaj kereta milik banglo mewah itu. Mata terbeliak luas melihat kereta – kereta mewah berjenama berbaris tersusun panjang sejajar. Kesemuanya 10 buah. Matanya terpana pada sebuah kereta merah yang berkilat.

Aduhai!...kalau aku dapat sebiji macam ni...sumpah tak cari lain..ketawanya dalam hati. Tangan perlahan mengusap badan kereta ‘Ferrari’ merah menyala bernombor AM 101. Cantik betul nombor dia.

Kaki terus melangkah menyusuri jalan berbatu yang disusun cantik. Dia berdiri megah betul – betul di hadapan pintu besar umpama gerbang masuk ke sebuah istana. Sangat besar dan lebar. Pintu klasik dari kayu nyatoh yang sarat dengan ukiran awan larat buatan tangan menjadi mercu banglo mewah ini.

Belumpun sempat dia menekan loceng, seorang wanita agak muda sudah terpacul di muka pintu. Melihat dari rupa paras dan gaya pemakaian wanita itu, berkemungkinan dia seorang pembantu rumah. Senyuman manis dilemparkan buat si wanita penyambut itu.

“Saya mahu jumpa dato’”

“Kamu Nurul Lisa yang telefon tadi?”

“Iya” ringkas saja jawapannya. Mudah. Tidak perlu dipanjangkan komunikasi yang tiada relevan.

“Masuk dulu ya non. Ibu sedang mandi. Saya udah maklum pada dia tadi. Sila tunggu di sana ya non”. Tangan menunjukkan arah ke satu sudut yang di lengkapi set perabot rotan dengan dikelilingi panorama indah pemandangan taman lanskap buatan.

“Emm..trima kasih ya” dia mengajuk mengikut bahasa wanita itu.

Nurul mengamati suasana damai di ruang khas seperti yang diarahkan. Desiran angin mengalun mesra bersama curahan air terjun yang keluar dari celahan batu - batan. Bagaikan satu melodi menerjah halwa pendengarannya. Jajaran air terjun yang melimpah ke bawah kolam buatan di sepanjang taman digenangi ratusan ikan koi yang sedang asyik berkejaran. Terhibur hatinya seketika. Senyuman puas terukir dibibir.

Keasyikannya memerhatikan ikan yang sedang bermain, tanpa diduga sepasang mata ralit merenung. Dia masih tidak sedar. Khayal dalam dunia imaginasi ciptaan sendiri.

Susuk tubuh yang mengintip ditepuk perlahan oleh sang ibu dari belakang. Tubuh itu terkejut. Kemudian berpaling dan tersengih kecil.

“Emm..apa yang Mike tengok” tegur si ibu.

“Nothing. Apa perempuan tu buat kat sini”. Muncung ditujukan ke arah gadis yang sedang khusyuk mengelamun.

“Oh! Lisa. Why? Mike kenal ke dia”

“Mybe…?”.

“Mybe? Mummy tak faham. Kenapa Mike cakap macam tu?”

“Nantilah... I will ‘story’ you later. Mike masuk bilik dulu”. Si ibu terpinga. Tidak memahami apa maksud anaknya itu. Tanpa berlengah lelaki itu memusing kerusi roda menuju ke bilik bawah yang telah dikhaskan untuknya seminggu yang lalu. Kecederaan dikaki memaksa dia berehat dalam tempoh yang lama sekurang – kurangnya 6 bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Hai! Lisa. Lama tunggu” Nurul disapa mesra oleh Dato Maznah. Nurul berpaling dan melirik senyum. Pantas dia menyalam dan mencium tangan wanita anggun itu. Hati Maznah tersentuh. Jarang benar kuncupan itu singgah ke tangannya sepertimana yang dilakukan oleh gadis itu. Amat sopan dan tinggi budi bahasanya.

“Tak lama jugak auntie. Lagipun saya seronok tengok ikan – ikan ini. Permandangan yang cantik, suasana yang nyaman…emm..memang seronoklah duduk kat sini” luah Nurul telus. Sengihnya yang menampakkan lekuk di kedua pipi, menyerlahkan lagi keayuan raut wajah gadis itu.

“Kalau suka …seronok ..tinggal ajelah kat sini. Hari – hari boleh tengok ikan tu” seloroh Maznah.

“Hish! Tak mahu lah saya” Nurul menahan malu dengan keterujaannya tadi.

“Eh! sebelum terlupa auntie. Saya sebenarnya nak pulangkan baki duit tempoh hari. Auntie bagi saya banyak sangat” Nurul menyeluk beg sandangnya dan mengeluarkan beberapa keping wang kertas. Dia mengira satu – persatu wang tersebut dan kemudian menghulurkannya kepada Dato Maznah.

Maznah menyambut tanpa curiga. Dia percaya keluhuran gadis ini. Sukar mencari seseorang yang begitu amanah dan jujur di zaman ini hingga sanggup memulangkan semula baki wang tempoh hari. Sebaliknya gadis ini boleh menghilangkan diri begitu saja.

Nafas lega dilepaskan perlahan. Nurul berasa bebannya telah lenyap sebaik baki wang itu disambut oleh Dato Maznah. Selama beberapa hari, hidupnya dibelenggu resah, dihantui rasa takut dan bimbang. Bimbang dengan wang yang hilang atau tidak sengaja dibelanjakan. Dan paling membimbangkan, ancaman dari konco – konco lelaki bernama tengku itu yang masih berlegar mencarinya di luar sana.

Hampir seminggu juga dia terpaksa bertapa di rumah kerana khuatir keselamatan diri. Cuma hari ini dia memberanikan dirinya untuk keluar setelah dipastikan keadaan benar - benar selamat. Keriangannya untuk keluar bebas pada hari ini digunakan sebaik mungkin. Bebas sepuas – puas hatinya. Menadah muka ke langit seolah telah lama benar dia tidak menatap sinaran cahaya suria yang memancar, merasai bahang siang yang memanah kulit, mendengar hiruk – pikuk kesibukan manusia sambil melihat keindahan alam buatan Illahi.

Nurul tersenyum lagi. Kali ini senyumannya lebih meleret panjang. Entah apalah nasib si tengku tu…tiba – tiba hati berdetik ingin tahu.

“Kenapa senyum sorang – sorang ni” tegur Dato Maznah. Lamunan Nurul terhenti serta – merta.

“Err..tak de apa – apalah auntie”.

“Eh! dalam gambar tu siapa auntie” dia cuba mengubah topik. Pantas kakinya mengorak langkah menuju ke ruang tergantungnya sebuah gambar potret besar yang dilukis tangan. Sungguh halus keseniannya.

“Yang tengah ni auntie, sebelah ni suami auntie Tengku Adam Mahzan, yang kiri anak lelaki sulung auntie, Tengku Adam Mahfuz dan yang kanan anak lelaki bongsu auntie, Tengku Adam Mikail”.

“Oh! masa ni zaman muda – muda lah gitu. Auntie nampak anggun sekali berkebaya nyonya. Klasik betullah gambar ni auntie” pujinya.

Maznah ketawa kecil. Lucu dengan pujian Nurul. Belum pernah orang memujinya cantik berkebaya lama seperti itu. Selalunya puji – pujian hanya untuk pakaian moden yang sarat labuci, mutiara, manik – manik mahupun berlian.

“Pandai betul kamu memuji saya ya”.

“Laa..saya ikhlaslah auntie. Betul…potret ni memang ada klass…nostalgia tau. Berapa umur auntie dan anak – anak masa ni” .

“Emm..kalau tak silap masa ni auntie.. 25 tahun. Anak sulung auntie 8 tahun dan yang bongsu 6 tahun. Orang dulu kahwin usia muda..Lisa . Tak pelik kalau waktu tu auntie masih muda tapi anak dah besar - besar”.

“Ish! apa nak peliknya. Saya pun suka kawin muda jugak…he he he” selorohnya sambil ketawa besar. Amboi! nakalnya aku…gatal sungguh!..desis hati kecil.

Maznah turut ketawa melayani Nurul yang bersahaja. Umpama sahabat yang telah berkenalan lama. Sebetulnya dia senang dengan sikap Nurul. Pasti gadis ini seorang yang amat istimewa. Hati Maznah terpikat dan dia merancang sesuatu. Merancang untuk mengandingkan gadis ini buat anaknya. Status ataupun taraf gadis yang telah mencuri hati keibuannya tidak dipedulikan. Yang penting gadis seistimewa seperti Nurul tidak boleh jatuh ke tangan orang lain.Kiranya, arwah suaminya masih ada, pasti gadis ini juga akan menjadi pilihannya. Maznah tahu apa yang disukai arwah suaminya itu.Gadis ini mesti menjadi milik keluarga Tengku Adam Mahzan. Senyuman nipis terus meniti dibibir wanita itu.

“Dahlah, kita tinggalkan gambar lama ni dulu. Ada banyak lagi dalam album kalau Lisa nak tengok. Jom! kita makan, perut saya dah lapar sangat” pelawa Maznah sambil merangkul pinggang Nurul. Nurul sedikit terkejut tetapi akur melangkah. Mengiringi Dato Maznah menuju ke ruang makan yang amat luas.

“Bik…panggil tuan muda sekali. Mahu makan bersama saya atau tidak” .

“Baik buk”.

************************

Di dalam bilik suasana menjadi semakin membahang. Hati yang panas terpaksa ditahan – tahan. Perasaan geram diluahkan dengan menghempas segala barang di atas meja. Habis pecah dan berselerakkan.

Pintu diketuk dari luar. Bibik menguak sedikit. Tidak semena – mena kepala bibik sipi saja terkena alat kawalan jauh dibaling si tengku baran.

“Aduh! kenapa ni tuan. Habis kepala saya di baling barang segala”. Bibik menguak daun pintu lebih besar.

“Masyaallah! Tuan. Apa sudah jadi?” . Terbeliak biji mata melihat bilik yang bersepah - sepah itu.

“Asal kau masuk bilik aku. Keluar!”

“Maaf tuan. Ibu panggil makan sama. Bibik cuma sampaikan aja. Kenapa tuan mau marah – marah” jawab bibik bersahaja sambil mata menjeling. Meluat barangkali melihat ragam anak tuannya itu.

“Aku tak de selera. Sudah! keluar. Lepas makan nanti kau datang balik kemas bilik aku faham!” arah si tengku tanpa menoleh pembantu rumah yang termangu kehairanan.

Tanpa sedar kekecohan mereka mendapat perhatian si ibu dan tetamu. Kemunculan Dato Maznah dibelakan secara tiba – tiba mengejutkan si bibik yang sedang tercegat di muka pintu.

“Apa hal bising – bising bik” tanya Maznah yang masih tidak perasan keadaan yang berlaku.

Bibik serba – salah. “Err…..tuan…errr”

“Sudah!. Ketepi kamu”. Bibik berundur. Memberi ruang kepada si ibu untuk menjenguk. Terlopong mulut Maznah. Keadaan yang tak ubah seperti di landa tsunami benar – benar memeranjatkannya.

“Ya Allah! Mike, what’s happen to you?”.

Lelaki itu berpaling. Terkejut juga dengan terpaan si ibu dari arah belakangnya.

“Err..mummy…mike…err…” katanya terhenti tatkala melihat wajah gadis yang dibenci sudah terpacul di depannya. Merah padam muka disapa malu. Malu dengan keadaanya yang tidak terurus.

Sementalah itu juga, wajah Nurul turut berubah. Darah panas mula menyerbu muka. Maznah yang perasaan ketika itu memandang antara kedua mereka.

“Mike..do you know Lisa?”

Pertanyaan si ibu tidak disahut. Sebaliknya renungan tajam terus menatap wajah gadis di depannya itu. Nurul sudah tak keruan. Rasa bersalah menyelubungi seluruh jiwanya. Aduh! Mati aku…

“Mike..” .Dia masih membatu. Maznah melepaskan keluhan. Keras kepala anaknya yang satu ini.

“Lisa…kenapa awak terkejut? Awak kenal dengan anak saya ke?” Maznah bertanya pula kepada Nurul yang masih pegun.

“Err…” Nurul keliru. Tidak tahu jawapan apa yang perlu diberikan. Kenalkah atau tidak?. Ternyata insiden ini memberi kejutan hebat kepadanya kerana siapa sangka si tengku bongkak itu adalah anak Dato Maznah. Hilang butir kata – kata. Alih – alih dia cuma mendiamkan diri saja.

“Emm…nampaknya Mike dengan Lisa macam sepakat. Nak rahsiakan hubungan korang berdua ke? Kalau macam tu mummy anggap korang memang sedang bercinta” serkap Maznah. Sengaja menimbulkan isu yang tak masuk akal langsung itu. Memang dia tahu itu adalah mustahil.

“No!..tidak!” kedua mereka menjerit serentak. Maznah tersengih. Benar telahannya.

“Dengan perempuan kampung ni…oh! mummy..please! not my taste. Ini Tengku Adam Mikail, mummy….takkan sesekali ada hubungan dengan perempuan macam ni” sangkal si tengku itu dengan bongkak. Nurul mencebik. Kau ingat ‘taste’ kau tu bagus sangat. Berlagak! Nasib baik cuma kaki yang patah. Kalau hari tu aku baling kena kat muka lagi bagus..sumpah seranah Nurul cuma tersekat dikerongkong, tak mampu terluah dibibir. Dia tidak berani melawan kata – kata si tengku bongkak itu ketika ini apatah lagi berbalas panahan renungan matanya yang semakin berapi.

“Ish! kenapa Mike cakap macam tu? Tak baik, lagipun Lisa kawan mummy so say sorry to her”

“Sorry? No way!” dia merengus geram lalu memusingkan kerusi roda ke arah lain.

Si ibu merapatkan diri cuba memujuk hati panas si anak.

“Kenapa Mike marah sangat ni. Apa yang Lisa dah buat pada Mike”.

“By the way…kalau mummy nak tahu, perempuan inilah yang telah menyebabkan Mike jadi macam ni. Perempuan jahanam inilah membuatkan hidup Mike tak tentu arah ..mummy tahu tak? Mike memang dendam dengan dia ..mummy” luah si tengku tak bertapis. Hati Nurul benar – benar tersinggung. Berdesing telinganya dengan kata – kata itu. Jantung berdegup laju menahan debar bercampur geram.

“Sa…sa…saya sebenarnya tak sengaja auntie. Ma..masa tu …” Nurul cuba membela diri namun rasa gemuruh menyukarkannya untuk bersuara.

Suasana terasa tegang. Si tengku semakin terserlah celuparnya.

“Kau cakap tak sengaja. Kepala hotak kau!. Memang kau sengaja lempar bola tu pada aku kan” tengkingan yang membingitkan telinga.

“Betul!..sumpah auntie”

“Syyy…it’s okay. Biar auntie selesaikan. Lisa tunggu auntie di luar. Bik, bawa Lisa ke ruang tamu. Buatkan minumannya sekali” arah Maznah lalu menutup pintu bilik.

Entah apa yang berlaku nanti. Yang pasti Nurul ingin perkara ini selesai secepat yang mungkin. Pertelingkahan antara dia dengan si tengku bongkak perlu ditamatkan . Mudarat pada dirinya jika permusuhan ini berpanjangan

Monday, May 10, 2010

Diulit DOSA CINTA...26

BAB 26


Ikram tergesa memarkir kereta. Berlari menuju ke tapak di mana tempat Zaqrie memarkir keretanya. Kebetulan Zaqrie baru saja habis bermain tennis bersama Aaron dan Malik. Ikram mempercepatkan langkahnya. Peluang yang ada harus dimanfaatkan kerana bukan mudah untuk dia berjumpa dengan lelaki itu. Hasil maklumat dari Mastura, Ikram berjaya mendapatkan Zaqrie. Banyak perkara yang perlu diselesaikan antara mereka berdua. Lebih – lebih lagi perkara semalam membuatkan tidurnya tidak lena dan jiwanya semakin meronta.

“Zaqrie!” laung Ikram dari arah belakang. Zaqrie yang sedang membuka pintu kereta menoleh. Serta - merta satu tumbukan hinggap ke mukanya. Mengalir darah di tepi bibir, Zaqrie mengesat dengan ibu jari.

“Kau dah gila ke hah!?”. Zaqrie meludah air liur bercampur darah. Berkali – kali dia mengesat darah yang terbit dibibirnya. Mengumam –gumam bibir yang kepedihan. Ada luka kecil. Kuat juga penumbuk Ikram hingga mengoyakkan kulit lembut itu.

“Ini amaran aku yang pertama”.

“Apa masalah kau? Apa yang kau tak puas hati dengan aku?”. Zaqrie menuding jari tepat ke muka Ikram. Rasa geramnya meluap. Nasib baik dia masih boleh bersabar. Jika tidak pasti Ikram telah makan penumbuknya juga.

Sementara Malik dan Aaron tidak berdiam diri. Melihat sahabatnya dipukul membuatkan darah mereka mendidih serta – merta.

“Wei! babun nampaknya kau dah main kasar. Zaq, apa lagi kita orang dah tak sabar nak belasah jantan ni. Dah lama hidup agaknya” Malik mengepal tangannya. Rasa gatal ditangan sudah mula kebas untuk membelasah orang.

Dengan tidak sabar, Malik terus merenggut leher baju Ikram ke arahnya. Aaron juga ingin bertindak sama namun cepat dihalang oleh Zaqrie. Dia tidak mahu sebarang kekecohan terjadi. Bantuan Malik dan Aaron bukan saja menggambarkan kelemahannya sebagai anak lelaki. Malah memalukan dan mencalarkan keegoannya selama ini. Zaqrie segera meleraikan mereka. Mengarahkan Aaron dan Malik ke tepi.

“Relax..Mal...Aaron. Biar aku selesaikan sendiri masalah aku ni” Zaqrie masih menunjukkan sikap tolerannya. Walau dalam hati tetap membara dengan dendam yang masih belum pudar untuk lelaki itu

“Apa masalah kau? Baik kau cakap sekarang sebelum penumbuk aku pulak cecah ke muka kau?”. Ikram sedikitpun tidak gerun dengan ancaman itu sebaliknya dia memberi amaran balas kepada Zaqrie.

“Aku nak kau jauhi diri kau dari Adawiya. Jangan ganggu dia lagi” .

“Apa yang kau merepek ni” Zaqrie benar – benar tak faham.

“Kau jangan nak pura – pura Zaqrie. Aku tahu niat jahat kau tu. Jauhi Adawiya, itu aje ” tegas Ikram.

Wajah Ikram direnung dalam. Barulah dia mengerti mengapa Ikram bertindak begitu.Ikram takut akan rahsianya. Namun amaran itu dibalas dengan senyuman sinis dan wajah bersahaja Zaqrie.

“Aku rasa aku dah cukup bersabar dengan kau Ikram. Aku tak hebohkan pasal cerita kau pun dah cukup baik. Kau patut bersyukur. Walaupun kau mainkan adik aku, kau perdayakan Adawiya, aku diamkan sebab aku tak suka nak masuk campur masalah kau…tapi nampaknya kau mula main kasar, dan aku tak akan berdiam diri lagi” selarnya untuk menyedarkan Ikram. Dia bukan lelaki dayus untuk menjatuhkan musuhnya dengan cara mudah begitu. Kalau ikutkan hatinya, lama dulu dia sudah membongkarkan rahsia Ikram. Namun itu bukan sikapnya.

“Lantaklah kau nak cakap apa Zaq. Yang penting, aku tak nak kau ganggu hidup Adawiya lagi. Dia milik aku, hak aku…faham”. Ikram mengulangi amarannya. Kali ini Zaqrie ketawa besar sambil mengelengkan kepala. Pengakuan Ikram mengelikan hatinya. Betapa lelaki itu bodoh mengungkap maksud ‘hak’ semudah itu.

“Aku rasa kau dah sewel lah Ikram” ajuk Zaqrie dengan tawa yang masih bersisa. Ikram mengetap bibir. Menahan geram. Zaqrie punca segala masalahnya, membuatkan dirinya semakin tertekan.

“Untuk makluman kau, Adawiya dah lama menjadi milik aku. Hampir tiga tahun dulu. Kalau kau nak tahu, aku telah menyentuhinya dulu dari kau. Dia jadi hak aku secara tak rasminya…kau tu yang kena faham! bodoh!” bisik Zaqrie perlahan ke telinga Ikram. Tersentap jantung yang berdegup. Terpukul tubuh yang pegun. Bibir Ikram mengumat - gamit sumpah – seranah. Rasa marah semakin meluap.

“Kurang ajar!!!”. Ikram melepaskan satu lagi tumbukannya. Kali ini Zaqrie telah bersedia dan dia pantas mengelak. Ikram terjatuh. Mengambil kesempatan yang ada di depan mata, Malik dan Aaron terus membelasah Ikram bertalu – talu hingga lembik dan tidak berdaya.

“Sudah lah Mal..Aaron, mati pulak budak tu nanti. Tak pasal – pasal adik aku dendam pada aku pulak. Walau macam mana pun dia tetap bakal adik ipar aku” sengih Zaqrie dengan puas.

Setelah memastikan Ikram masih bernafas, Malik dan Aaron beredar mengekori langkah Zaqrie memasuki perut kereta. Kereta bergerak perlahan dan Zaqrie menurunkan cermin kereta.

“Ingat Ikram! Selesaikan masalah kau secepat mungkin sebelum aku bertindak”. Kereta dipecut laju, meninggalkan Ikram yang sedang mengerang kesakitan.

Ikram mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Tangannya ketar mendail.

“Wiya…tolong saya….”


***************************

“Tak sangka betul En Zaqrie sanggup buat macam ni” ujar Salina penuh emosi. Melihat kecederaan Ikram yang serius menimbulkan rasa simpatinya.

“Gangster jugak encik Zaqrie tu. Lain betul perangainya yang saya kenal semasa di pejabat” celah Hamidi pula.

“Itu yang awak tahu Midi. Banyak lagi perkara yang awak tak tahu. Dia boleh lakukan apa saja untuk mencapai cita – citanya itu” Ikram menokok tambah. Suaranya mula serak dan lemah.

“Tapi kenapa encik Zaqrie pukul awak macam ni teruk. Takde hati perut langsung. Ingat dia kaya…dia boleh pukul orang sesuka hati ke” marah Salina lagi.

“Dah nasib saya Sal…saya mentimun ..dia durian. Apa – apa pun boleh jadi ikut telunjuknya, asalkan semua keinginannya tercapai”.

Aku pekakkan telinga dan keraskan hati untuk mendengar tuduhan itu. Macam – macam andaian mereka. Keburukan sikap Zaqrie meresahkan hatiku. Barangkali sukar untukku percaya ini adalah hasil kerjanya. Namun melihat disebalik kecederaan Ikram aku akur kata – kata itu, Zaqrie sanggup melakukan apa saja untuk mencapai hasratnya.

Tangan kembali menuam kesan lebam dimuka dan tangan Ikram. Kesian pula melihat keadaannya. Hatiku tersayat pilu tiba – tiba.

“Aduh!”

“Oh! sory…saya tak sengaja”.

“Kuat sangat sayang tekan”. Ikram mengaduh manja. Aku tergelak dalam hati. Tak sangka tanganku kuat menuam lebam dimukanya.

“Kita ke klinik Ikram. Teruk awak cedera. Saya risaulah wak, kalau mudarat apa – apa nanti” usulku kerana bimbangkan keadaannya yang agak serius.

“Terima kasih sayang. Awak ada di sisi saya pun dah cukup. Hilang rasa sakit saya. Lagipun cuma lebam dan luka – luka biasa aje ni” Ikram mengadu manja.

“Hish! Mana boleh En Ikram. Kita kena ke klinik jugak. Lepas tu, kita buat laporan polis sebab ini kes jenayah. Kita tak boleh diamkan. Manalah tahu esok - lusa dibunuhnya pulak, hah! macam mana?” celah Salina mencadangkan sesuatu yang bernas. Ada logiknya juga pada hematku. Sekiranya kes ini tidak dilaporkan pasti Zaqrie akan membuat hal yang lebih dahsyat lagi.

“Betul tu. Saya setuju dengan pendapat Salina” sokong Hamidi. Aku juga turut mengangguk sama.

“Err..tak payahlah. Saya nak selesaikan masalah saya dengan Zaqrie sendirian. Tak perlu libatkan sesiapa. Saya tak nak besar – besarkan kes ini” jawab Ikram. Dia enggan dibantu.

“Apa masalah awak dengan dia” . Aku curiga tiba –tiba.

“Err…nothing. Cuma masalah kecik aje ...hal lelaki” Ikram menafi. Aku tahu dia menyembunyikan sesuatu dariku. Dia kemudian mengarahkan aku untuk menuam ke atas lengannya pula. Mungkin sengaja ingin mengubah topik.

“Yang penting, saya perlukan sokongan dari awak Wiya. Janji dengan saya, awak takkan berjumpa dengan lelaki itu lagi. Saya bimbang dia akan mengapa – ngapakan awak nanti”. Aku mengangguk akur dengan nasihatnya. Mungkin juga ada benarnya kata – kata Ikram.

Di dalam hati tetap gusar. Mindaku ligat berfikir. Apakah masalah mereka berdua sebenarnya? Kenapa Ikram teruk dibelasah oleh Zaqrie? Sejak bilakah Ikram dan Zaqrie bermusuh? Akukah puncanya? Ah! Pelbagai persoalan berlegar dibenakku.

Salina dan Hamidi turut memandang sesama sendiri. Mungkin mereka dapat mengagak apa yang aku sedang fikirkan. Sudahnya suasana bertukar menjadi sunyi sepi . Masing – masing membungkam perasaan yang bercampur – baur.

Ikram yang terlena di sofa panjang kubiarkan. Menyelimuti tubuhnya dengan kain gebar. Aku mengekori Salina dan Hamidi beredar dari ruang tamu duduk di buaian luar untuk mengambil angin. Malam ini agak dingin. Hujan renyai – renyai sejak dari petang tadi menyejukkan suasana malam . Aku memeluk tubuh.

“Apa yang kau fikir Sal?” tanyaku.

“Fikir apa?”

“Pasal hal ni lah. Takkan kita nak diamkan diri macam tu aje” tukasku lagi.

“Entahlah..kesian jugak aku tengok si Ikram tu. Teruk betullah bos aku tu. Kot ye dah tak waras, tak yahlah nak pukul – pukul orang kan” .

“Pendapat kau macam mana pulak?” soal Salina kepada Hamidi yang dari tadi tidak bersuara.

“Saya pun tak tahu. Kalau boleh saya tak nak masuk campur. Biarlah Ikram ‘settle’ sendiri dengan si Zaqrie tu” akui Hamidi terus mengalah dari mencampuri urusan orang lain.

“Mana boleh macam tu Midi. Habis kawan kita, Wiya ni macam mana, Ikram tu tunang dia, memerangkap bakal suami pulak. Aku ingatkan Wiya, kita pergi bersemuka dengan Zaqrie tu sendiri , okay tak cadangan aku” .

Salina menunggu persetujuanku. Aku masih ragu. Perlukah aku berbuat demikian. Berjumpa Zaqrie? Aduh! satu perkara yang aku paling takuti. Takut pada bayang – bayangku sendiri. Rasa gemuruh sering kali melanda diri aku. Hatiku pasti bergetar acapkali bertembung mata dengannya. Aku takut tewas. Tewas dalam renungan Zaqrie yang berahi.

“Aku rasa tak payahlah Sal. Nanti Ikram marah pulak sebab inikan masalah dia. Karang kalau aku sibuk – sibuk jadi hal lain pulak. Cadangan kau nak buat ‘report’ polis tu macam mana, okay ke?” .

“Emm…aku dah tarik balik. Kesian pulak kat dato dengan datin tu. Jatuhlah maruah derang nanti” Salina pula yang menolak. Tadi dia yang sibuk cakap. Aku terdiam. Keadaan jadi bisu seketika.

Tiba – tiba sebuah kereta peronda polis berhenti di depan rumah Salina. Berderau darahku tatkala melihat dua orang anggota polis keluar dari perut kereta lalu menghampiri kami. Aku mula rasa tak sedap hati.

Hamidi menyambut kedatangan anggota polis itu dengan ramah. Aku sudah dapat mengagak tujuan mereka. Kes Ikram! …sememangnya telah diduga. Perbualan singkat antara kami berakhir apabila kami diarahkan membawa Ikram ke balai polis untuk diambil keterangan berhubung kes menyerang seorang anak dato, yang pastinya anak dato itu adalah Zaqrie!.

Apa dah jadi ni? Kenapa Ikram pula yang dituduh?. Kami memandang sesama sendiri. Persoalan demi persoalan menerjah masuk ke benak. Sukar menafsir keadaan yang rumit ini.

Dan simpatiku semakin mengunung terhadap Ikram. Mangsa kepada lelaki yang tidak berhati perut!..... Zaqrie!.